Tiada lesen memandu, 54 warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Tiada lesen memandu, 54 warga asing ditahan

SEBAHAGIAN daripada 54 warga asing ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op Pewa) di Kepong dan Taman Batu Muda, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 54 warga asing ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op Pewa) di Kepong dan Taman Batu Muda di sini hari ini.

Operasi bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia membabitkan 85 pegawai dan anggota.

Timbalan Pengarah JPJ WPKL, Erick Jusiang berkata, sebanyak 1,250 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 115 kenderaan diambil tindakan.

Katanya, antara kesalahan dikesan dilakukan adalah tiada lesen memandu termasuk tiada lesen memandu kenderaan perdagangan, cukai jalan dan insurans tamat tempoh, menyalah guna lesen kenderaan motor (LKM) serta lain-lain kesalahan.

“JPJ turut menyita 39 kenderaan iaitu 22 motosikal, 15 lori dan masing-masing sebuah kereta serta forklif.

“Sebanyak 54 warga asing ditahan kebanyakan mereka itu adalah pekerja syarikat pembersihan yang mendakwa diarah oleh majikan untuk memandu kenderaan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi berkenaan di JPJ WPKL di sini.

Erick berkata, pihaknya akan memanggil pemilik syarikat untuk diambil keterangan dan akan mengeluarkan saman terhadap mereka.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 26(1) dan Seksyen 57 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 90(1) akta sama.

Tambahnya, Jabatan Imigresen turut menahan kesemua pemandu warga asing membabitkan 13 Bangladesh, Myanmar (12), Pakistan (10), India (10) dan Indonesia (9) itu kerana melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalah guna pas lawatan.

“Operasi berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan warga asing mematuhi undang-undang ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya