ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak melihat keperluan untuk melakukan penambahbaikan terhadap silibus Sejarah antara Kedah dan Pulau Pinang dalam masa terdekat seperti dicadangkan oleh salah seorang Exco kerajaan negeri Kedah, baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, silibus pengajian untuk semua subjek sentiasa dipantau oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan agar bersesuaian dengan kitaran melibatkan pembelajaran murid-murid di sekolah.
“Silibus ini ada kitarannya dan kurikulum tersebut dipantau oleh pakar-pakar. Jadi setakat ini kita kekal dengan silibus sedia ada sehingga kitaran itu habis.
“Pemantauan dan penilaian itu bukan hanya untuk Sejarah saja tetapi semua subjek. Kita tidak hanya tertumpu kepada sesuatu aspek saja sebaliknya melibatkan semua perkara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaaan (SMJK) Keat Hwa di Jalan Kuala Kedah di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad baru-baru ini mencadangkan agar silibus mata pelajaran Sejarah antara Kedah dan Pulau Pinang dalam buku teks ditambah baik supaya tidak disalah erti oleh pihak tertentu.
Najmi mendakwa kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor baru-baru ini bahawa Pulau Pinang milik Kedah merupakan fakta sejarah, namun terdapat pihak tertentu cuba mengolahnya hingga timbul salah faham.
Mengulas lanjut Fadhlina berkata, isu berkenaan seharusnya diserahkan kepada pihak berkuasa kerana siasatan mengenainya sudah pun berjalan.
“Sekarang ini isu itu sudah pun disiasat pihak polis. Jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk proses terbabit,” katanya. –UTUSAN