Tiada keperluan mendesak pembenihan awan di Kolam Bukit Merah - Utusan Malaysia

Tiada keperluan mendesak pembenihan awan di Kolam Bukit Merah

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (depan) ketika meninjau Empangan Tasik Bukit Merah di Bagan Serai hari ini.- UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Kerajaan negeri tidak bercadang untuk melakukan pembenihan awan dalam masa terdekat di kawasan Empangan Kolam Tasik Bukit Merah di sini yang mengalami penyusutan air berikutan cuaca panas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ini disebabkan terdapat pelbagai kaedah penyelesaian lain yang masih boleh digunakan.

“Tiada keperluan mendesak pada ketika ini untuk kerajaan negeri menggunakan kaedah pembenihan awan kerana kita masih mempunyai pelbagai penyelesaian dalam menangani masalah yang dihadapi ekoran penyusutan paras air di kolam ini.

“Pembenihan awan hanya akan dilakukan sekiranya didapati ada keperluan segera kerana pembenihan memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Pusat Informasi Empangan Bukit Merah di Alur Limpah Selatan di sini hari ini.

Menurut Mohammad Nizar, walaupun berlaku penyusutan air di empangan itu namun ia tidak sampai ke tahap yang terlalu kritikal.

“Paras bacaan air hari ini juga menunjukkan berlaku sedikit peningkatan berkemungkinan kerana berlakunya sedikit hujan di dalam kawasan tadahan.

“Namun begitu catuan bekalan air untuk pengairan sawah padi yang bermula pada 29 Mei yang lalu diteruskan sehingga paras air kolam kembali normal,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian sentiasa memberi perhatian terhadap masalah para pesawah berkaitan bekalan air yang dicatu.

“JPS telah menyediakan 10 buah pam air bergerak dan dihantar ke kawasan kompartmen penanaman padi yang menghadapi masalah bekalan air.

“Sehingga kini, kawasan tanaman padi di kompartmen E dan F dicatu bekalannya melalui terusan besar manakala Kompartmen G dan H menerima catuan dari terusan Selinsing,” katanya.

Menurut beliau, selain itu tiada catuan dilaksanakan terhadap bekalan air mentah untuk dirawat oleh loji-loji rawatan air Lembaga Air Perak (LAP).

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata, kajian pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke kawasan Kolam Tadahan Bukit Merah masih lagi berada pada peringkat kajian.

“JPS masih lagi membuat kajian secara terperinci berhubung cadangan pembinaan terowong dari Sungai Perak ke empangan ini. Kajian secara teliti ini amat diperlukan sebelum perkara ini dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya