Tetapkan polisi 2 minggu sempurnakan jenazah orang Islam

Tetapkan polisi 2 minggu sempurnakan jenazah orang Islam – Dr. Zulkifli

PENGEBUMIAN JENAZAH ISLAM sewajarnya disempurnakan dalam tempoh 2 minggu .GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan dan kerajaan disyorkan untuk menetapkan polisi menyelesaikan urusan pengebumian jenazah tak dituntut terutamanya membabitkan warga asing dalam jangka sama dua minggu selepas kematian individu tersebut.

Menjawab soalan Utusan Malaysia di laman sesawangnya https://maktabahalbakri.com/1798-kebumikan-mayat-yang-tidak-dituntut/, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, polisi itu antara lain memberi kebenaran untuk pihak hospital menguruskan jenazah tersebut sesegera mungkin.

Selain itu, beliau berkata, polisi berkenaan mestilah memberikan kebenaran kepada hospital untuk mengebumikan jenazah tersebut dengan mengambil foto sebagai bukti serta catatan lokasi tempat dikebumi.

Jelasnya, ia adalah supaya mudah dirujuk dan juga diziarahi kuburnya oleh sanak-saudara dan kaum keluarganya kelak.

“Hospital juga boleh menggunakan media sosial untuk mewar-warkan atau mengiklankan si mati yang tidak dituntut atau dikesan oleh keluarga untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. 

“Begitu juga, iklan rasmi daripada akhbar berkenaan kes mayat-mayat yang tidak dituntut. Jika sekiranya Melayu dalam akhbar berbahasa Melayu, jika Cina dalam bahasa Cina dan jika India dalam bahasa Tamil, begitulah seterusnya.

“Isu seperti ini juga boleh diwar-warkan melalui televisyen dan boleh jadi rakan taulan si mati melihatnya untuk menyampaikan kepada kaum keluarga si mati dengan sesegera mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung laporan Utusan Malaysia berkaitan kematian seorang lelaki warganegara Indonesia, Basni Sabrah, 64, yang disahkan meninggal dunia pada 12 April lalu akibat radang paru-paru.

Isu berkaitan lelaki warga emas timbul apabila jasadnya masih lagi berada dalam simpanan Unit Forensik Hospital Kajang walaupun sudah lebih 60 hari disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, prosedur hospital kerajaan berkaitan jasad warga asing yang tidak berwaris memerlukan surat kebenaran daripada kedutaan negara asal individu tersebut sebelum dibenarkan untuk urusan selanjut.

Bagi mempercepatkan proses pengebumian jasad lelaki tersebut, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, pihak bertanggungjawab juga disyorkan untuk mendapatkan persetujuan pihak kedutaan negara asal di mati untuk mengebumikan jasad warganegara mereka sesegera mungkin.

Menurutnya, mengurus jenazah sehingga selesai adalah fardhu kifayah, sekiranya tidak diselesaikan, maka hukumnya adalah berdosa.

“Saya syorkan wakil hospital berhubung dengan kedutaan Indonesia bagi mendapatkan persetujuan untuk dikebumikan. 

“Jika mengetahui kaum keluarga hendaklah memaklumkan terlebih dahulu agar dapat sama-sama diuruskan dengan sebaik mungkin, atau diwakilkan kepada pihak kedutaan Indonesia atau badan-badan yang melaksanakannya untuk menguruskan pengebumian si mati. 

“Alangkah baiknya, jika kita cuba menyelesaikan isu jenazah tempoh kurang dari dua minggu sebagai contoh bagi warga asing dan lagi cepat lagi baik,” katanya.

Menurut beliau, terdapat banyak badan bukan kerajaan yang mampu melaksanakan tugas tersebut dengan baik dan carilah mereka yang mempunyai amanah tinggi serta tanggungjawab baik untuk melaksanakan tugasan terakhir kepada si mati sebagai seorang Islam.

“Begitu juga, disarankan supaya pihak hospital yang diberi tugas untuk mengendalikan penyimpanan mayat agar berhubung kepada pihak yang bertanggungjawab seperti kaum keluarga atau kedutaaan negara masing-masing. 

“Saya yakin dan percaya kita dapat menyelesaikan isu ini dan tidak ada lagi mayat yang terbengkalai di tempat penyimpanan mayat dalam tempoh yang lama sebelum menuju ke perkuburan. Semoga Allah SWT mudahkan urusan tersebut,” katanya.-

Sementara itu  Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berpendapat bahawa tindakan melengah-lengahkan proses pengebumian jasad individu Islam boleh mendatangkan dosa jika dilakukan tanpa sebab munasabah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Salim berkata, apabila seorang Muslim meninggal dunia secara kematian biasa hendaklah jenazahnya diuruskan dengan seberapa cepat yang mungkin. 

Jelasnya, urusan tersebut termasuk memandi, mengkafan dan seterusnya mengkebumikannya.

“Gesaan menyegerakan pengurusan jenazah adalah disebabkan kebimbangan ia akan berubah seperti reput dan berbau bau dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi.

Wan Salim turut berkongsikan dalil berhubung perkara tersebut berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh  Imam Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah.

Berdasarkan hadis tersebut, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Hendaklah kamu bersegera mengurus jenazah, jika dia seorang yang solih maka amat baik kamu membawakannya (ke kuburnya) dan jika dia sebaliknya maka kamu dapat melepaskan bebanannya daripada diri kamu.”

Bagaimanapun, Wan Salim berkata, terdapat pengecualian dibolehkan dalam beberapa hal membabitkan urusan percepatkan pengebumian iaitu membabitkan kes kematian mengejut.

“Antaranya, seperti serangan jantung, kemalangan jalan raya, tertimbus di bawah runtuhan dan seumpamanya, maka sunat ditangguhkan untuk tempoh tertentu sehingga dipastikan kematian benar berlaku,” katanya.

Beliu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan Utusan Malaysia berkaitan kematian seorang lelaki warganegara Indonesia, Basni Sabrah, 64, yang disahkan meninggal dunia pada 12 April lalu akibat radang paru-paru.

Isu berkaitan lelaki warga emas timbul apabila jasadnya masih lagi berada dalam simpanan Unit Forensik Hospital Kajang walaupun sudah lebih 60 hari disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, prosedur hospital kerajaan berkaitan jasad warga asing yang tidak berwaris memerlukan surat kebenaran daripada kedutaan negara asal individu tersebut sebelum dibenarkan untuk urusan selanjut.

Menurut Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado, warga emas terbabit menghuni di pusat jagaan seliaannya selama empat tahun sejak tahun 2019 sebelum meninggal dunia.

“Semua urusan berkaitan lelaki tersebut sudah pun dilakukan oleh pihak kami termasuk menghantar surat pemakluman kematian kepada kedutaan Indonesia namun sehingga hari ini surat kebenaran masih belum diberikan.

“Menurut wakil kedutaan yang ditemui sebelum ini, mereka menyatakan bahawa pihak kedutaan perlu mencari waris terlebih dahulu sebelum memberi kebenaran untuk urusan selanjutnya,” katanya. utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya