Teruja saksi Dikir barat, wayang kulit di Perlis - Utusan Malaysia

Teruja saksi Dikir barat, wayang kulit di Perlis

KEHADIRAN tok dalang cilik iaitu Aqfierudzar Rizq Mohd. Sulhie atau Pyu berusia sembilan tahun yang menyajikan persembahan wayang kulit bersama kumpulan Arjunasukma mencuri tumpuan sempena Festival Silang Budaya Kelantan-Perlis di Dataran Dato Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Penduduk di negeri ini tidak perlu menempuh Banjaran Titiwangsa dengan jarak lebih 400 kilometer untuk ke Kelantan menyaksikan persembahan dikir barat dan wayang kulit kerana berpeluang melihat kesenian tradisional itu di sini.

Persembahan itu dapat disaksikan menerusi Festival Silang Budaya Kelantan-Perlis yang berlangsung tiga hari di Dataran Dato Sheikh Ahmad di sini bermula semalam.

Malah, orang ramai begitu teruja menyaksikan sendiri bagaimana kehebatan tukang karut dan tok dalang beraksi dalam persembahan yang disajikan kumpulan dikir barat dan wayang kulit Arjunasukma yang diketuai penggiat seni Kelantan, Mohd. Sulhie Yusuf,46, itu.

Malah, kehadiran tok dalang cilik iaitu Aqfierudzar Rizq Mohd. Sulhie atau Pyu berusia sembilan tahun yang lincah menggerakan patung wayang kulit dengan petah menyampaikan bait-bait cerita menjadikan persembahan berkenaan cukup menarik.

Persembahan tersebut ternyata antara ‘memukau’ pengunjung yang datang memeriahkan festival silang budaya tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Sulhie atau lebih dikenali sebagai Yie Arjunasukma berkata, persembahan wayang kulit dan dikir barat antara yang memeriahkan festival silang budaya yang julung kali diadakan di Perlis itu.

Katanya, secara tidak langsung, mereka memperkenalkan kesenian wayang kulit dan dikir barat ini kepada orang Perlis yang dilihat mempunyai budaya yang hampir sama dengan masyarakat di Kelantan.

Ujarnya, mereka mengadakan persembahan pada malam semalam dan sebelah pagi pada 1 Jun semasa perasmian festival itu.

“Orang-orang Perlis berpeluang menyaksikan persembahan kesenian tersebut tanpa perlu pergi ke Kelantan dalam festival ini. Yang mana tidak pernah melihat persembahan dikir barat dan wayang kulit ini, boleh datang saksikan sendiri yang menyajikan persembahan bertenaga dari kumpulan kami.

MOHD.. Sulhie Yusuf (Atas, empat dari kiri) bersama ahli kumpulan dikir barat dan wayang kulit Arjunasukma sempena Festival Silang Budaya Kelantan-Perlis di Dataran Dato Sheikh Ahmad, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

“Kita memperkenal seni Kelantan di sini dan selepas ini, mungkin kesenian Perlis pula di bawa ke Kelantan dalam festival seperti ini,” katanya yang menceburi bidang kesenian tersebut sejak berusia 10 tahun.

Tambah Mohd. Sulhie, seramai 20 ahli kumpulan terbabit dibawa mengadakan persembahan tersebut yang membabitkan masa 30 minit masing-masing untuk dua persembahan kesenian berkenaan.

“Alhamdulilah, persembahan tersebut mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk di negeri ini untuk menyaksikan kesenian yang cukup popular di Kelantan itu,” katanya.

Selain dikir barat dan wayang kulit, antara aktiviti lain pada festival berkenaan ialah pembuatan batik, kraf, wau, tembikar, persembahan gasing terbang, seni silat tari dan pelbagai lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya