KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung poster pelantikannya sebagai pengerusi Felda.
Berhububg penularan itu, satu laporan dibuat wanita berusia 59 tahun berkenaan pada 5 petang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, terdahulu tular poster yang memaparkan gambar pengadu beserta logo Felda dan ucapan tahniah atas pelantikan pengadu sebagai pengerusi Felda.
“Poster itu tular dalam media sosial termasuk WhatsApp. Kejadian disedari pengadu ketika berada di pejabatnya di Taman Perniagaan Desa, Jalan Kuchai Maju.
“Pengadu kemudian terpaksa menambah perkataan palsu di dalam poster yang tular sebelum berkongsi dalam media sosial untuk penafian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati berita palsu itu berasal dari laman sosial Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah, Perak, Khalil Yahaya.
Katanya, siasatan juga mendapati poster berkenaan adalah tidak benar dan pihak Felda juga menyatakan tiada sebarang pengumuman rasmi pelantikan pengerusi baharu setakat kelmarin.
“Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam untuk tidak membuat spekulasi berhubung poster itu dan kes masih dalam siasatan polis.
Sebelum ini tular sekeping poster yang memaparkan ucapan tahniah kepada Teresa dilantik sebagai Pengerusi Felda.
Pada Rabu, Tan Sri Idris Jusoh mengesahkan pengundurannya sebagai Pengerusi Felda berkuat kuasa 30 Jun ini, lebih awal dari tarikh sepatutnya Mei tahun depan.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu menjelaskan, beliau menerima keputusan daripada Pejabat Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada lantikan pengganti baharu. – UTUSAN