Tentang sopan, jelajah dan “kanpai!” - Utusan Malaysia

Tentang sopan, jelajah dan “kanpai!”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAK ada sensasi atau kontroversi. Muziknya keras tetapi personalitinya lembut dan sopan. Tanpa rockstar attitude, Patriots mampu bertahan dan terus maju.

Itu ciri unik yang ada pada kugiran ini, selain muziknya yang pekat identiti dalam jalur genre post-hardcore, metalcore, j-rock dan pop mosh.

Saya selalu memandang Patriots sebagai kugiran yang garang di atas pentas tapi sopan di luar pentas. Terutamanya apabila berurusan dengan vokalisnya, Ayeen. Sopan dan tertibnya tak masuk akal.

“Memang kami satu kugiran semua introvert. Kalau nak tunjuk sikap pun, masa persembahan saja,” kata Aiman (gitar).

Patriots menjadi diri sendiri dan dalam beberapa keadaan, ia baik. Mereka lebih mudah untuk berurusan dengan penganjur atau penaja. Peminat yang kenal personaliti mereka juga senang dengan sikap sebegitu.

Cuma dalam beberapa keadaan lain, personaliti mereka dilihat sebagai tanda lemah. Dalam hal sebegini, mereka perlu tegas menegakkan hak sendiri.

“Taklah sampai kena pijak tapi aku pernah berurusan dengan penganjur yang tahu kugiran kami tak kuat mana, nak tarik penonton sampai beribu orang memang tak. Ada yang dah janjikan sesuatu tapi akhirnya, jadi lain.

“Kami jenis yang tak kisah sangat tentang bayaran tapi keperluan teknikal, kalau dah janji ada, sepatutnya ada. Tapi kami datang, tak ada amp, dram tak lengkap. Bila kami bersuara, mereka kata kami diva,” kata Ayeen.

“Kami cuma nak sampaikan persembahan yang terbaik. Bayaran tak tinggi, tak apa. Tapi bila nak buat persembahan, mereka tak boleh nak beri apa yang kami nak,” celah Hakimi (bass).

TIGA KOTA

Dalam pertemuan kami di Penvia Studio, Petaling Jaya itu, hanya empat ahli Patriots yang hadir. Selain Ayeen, Aiman dan Hakimi, ada Iskandar (dram). Seorang lagi gitaris, Najmi tidak dapat hadir.

Mereka sebenarnya baru menamatkan jelajah di Jepun. Jelajah itu bagi meraikan penerbitan EP terbaharu yang diterbitkan bersama kugiran dari negara itu, A Curtain of Mist.

Sebanyak tiga kota dijelajahi mereka, iaitu Tokyo, Osaka dan Nagoya. Di ketiga-tiga kota itu, mereka mendapat sambutan yang baik dan menimba pengalaman baharu.

“Mungkin ramai yang cakap, dalam Malaysia pun tak habis lagi dah nak pergi ke luar. Tapi bagi kami, rezeki itu luas.

“Satu hal yang orang perlu tahu, kita tak akan tahu cara nak buat duit melalui jelajah luar negara ini selagi kita tak pergi. Macam kami dah pergi dan dah ada rangkaian, jadi kalau kami ada peluang nak pergi lagi, kami akan pastikan boleh buat duit,” kata Ayeen.

Betul, kembara pertama mereka ke Jepun bukan untuk keuntungan kewangan. Malah, mereka keluar lebih banyak duit untuk ke sana. Namun, peluang yang ada tak mahu dilepaskan.

SILANG BUDAYA

Jepun bukan negara kecil untuk muzik. Walaupun kehadiran mereka ke sana bukan untuk bermain festival-festival besar, meletakkan nama dalam gelanggang muzik Jepun itu pun sudah memadai.

“Kami sebenarnya dah mula rancang untuk ke Jepun semula. Kami nak hasilkan album dengan lagu-lagu dalam tiga bahasa (bahasa Melayu, Inggeris dan Jepun). Kali ini, ketiga-tiga bahasa itu aku akan cuba nyanyi,” jelas Ayeen.

Kembara lima hari mereka ke Jepun banyak membuka mata, terutamanya tentang budaya rakyat Jepun dalam menganjurkan acara muzik.

Begitu juga dari segi disiplin dan budaya kerja. Ia ternyata berbeza dengan amalan lazim di Malaysia.

“Ada dua budaya kerja mereka yang kami belajar, iaitu sebelum persembahan dan selepas persembahan.

“Selepas selesai periksa bunyi, mereka akan kumpulkan semua orang yang terlibat dengan persembahan itu dan perkenalkan setiap seorang. Mereka nak pastikan semua yang terlibat itu saling
mengenali. Kemudian, ada taklimat tentang peraturan. Selesai itu, terus kugiran pertama mulakan persembahan.

“Semua kugiran akan ada di situ. Kiranya, mereka tak ada amalan yang lepas periksa bunyi, balik. Mereka terus ada di ruang acara dan berkenalan.

“Disebabkan itu, kami semua jadi kawan. Kami pun daripada tak kenal sesiapa, terus jadi kawan,” kongsi Ayeen.

Selepas persembahan tamat pula, sekali lagi semua yang terlibat akan berkumpul.

Kali ini, semua orang akan diberikan cawan dan ada ucapan daripada penganjur.

“Selepas itu, semua orang akan laga cawan sambil sebut “kanpai!”. Dan siapa yang lagakan cawannya ke bawah, itu maknanya dia menghormati pasangan cawannya itu,” kata Ayeen sebelum Hakimi mencelah dengan kuat, “Kami semua kanpai air kosong!”. Tentang sopan, jelajah dan “kanpai!”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya