Tawaran sertai Kerajaan Perpaduan diterima selepas PRU15, bukan dalam tempoh terdekat - Hadi - Utusan Malaysia

Tawaran sertai Kerajaan Perpaduan diterima selepas PRU15, bukan dalam tempoh terdekat – Hadi

ABDUL Hadi Awang (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan tawaran yang diterima parti itu untuk menyertai Kerajaan Perpaduan bukan dalam tempoh terdekat ini.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Marang itu berkata, tawaran itu sebenarnya diterima selepas berakhir  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“(Tawaran sertai kerajaan dibuat) Selepas pilihan raya. Yang terbaru tak adalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam hari ini.

Abdul Hadi memberitahu, walaupun tawaran tersebut telah dinafikan oleh pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), namun perkara itu memang wujud dan berlaku.

“Memang banyak broker yang datang jumpa saya, tapi (pemimpin utama) tak nak mengaku (tentang tawaran yang diberikan).

“Mereka ni datang dari dalam negeri, ada yang dari luar negeri. Semua datang jumpa saya nak pujuk, tapi saya jawab macam tadi lah, mereka tak tahu tentang politik Malaysia,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan yang melibatkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak sesuai memerintah Malaysia kerana dibayangi oleh pemimpin DAP.

“Kita boleh baca (situasi) politik sekarang ni, kita ni orang politik, lama dah. Walaupun DAP tak jadi menteri, tapi dia duduk belakang menteri. Walaupun DAP tak jadi Exco, tapi dia duduk belakang Exco, ini dia (yang berlaku sekarang).

“Oleh itu, kita menolak tawaran kerjasama dengan kerajaan sekarang sebaliknya akan terus perkasakan Perikatan Nasional (PN) dan mengajak pihak lain bersama kita kerana kita semakin mendapat tempat di hati rakyat, mendominasi isu-isu rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa beberapa individu menghubungi mengajak berjumpa untuk menawarkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, tawaran itu muncul kerana PH khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan berhubung tawaran yang dibuat beberapa pemimpin PH kepada Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Pada masa sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Abdul Hadi jangan perasan kononnya ada pihak menawarkan untuk menyertai kerajaan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya