KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, 30, terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki cahaya mata buat masa ini bagi membolehkan dia memberi tumpuan untuk mengembangkan lagi kerjaya seninya.
Bagaimanapun, pelakon yang mesra disapa sebagai Lizzy itu mengakui amat berharap untuk mempunyai anak sendiri lebih-lebih lagi selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan seorang doktor perubatan, Dr. Siew Jim.
“Saya sebenarnya amat menginginkan anak lebih-lebih lagi pada usia sekarang yang bakal menginjak 30 tahun. Tetapi saya khuatir tidak dapat bekerja untuk tempoh lama selain tawaran lakonan yang mana mungkin berubah selepas bergelar seorang ibu nanti.
“Saya tak pasti apa yang patut saya lakukan selepas ini. Saya memang mahukan anak, tetapi saya tak pasti sama ada itu adalah langkah yang betul untuk saya buat masa ini kerana masih banyak perkara yang saya mahu capai dalam kerjaya seni saya sebelum ia menjadi perlahan.
“Sukar untuk saya memikirkan tentangnya. Ibu saya pun sudah berusia. Saya cuma berharap semuanya akan okey sahaja,” katanya.
Elizabeth berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu sesi penggambaran drama bersiri W: Two World bertempat di Jalan Lapangan Terbang Lama, Sungai Besi dekat sini hari ini.
Berkongsi lanjut, Elizabeth memaklumkan dia juga memikul tanggungjawab yang besar dalam membantu suami mencari pendapatan untuk menanggung keperluan keluarga.
“Saya perlu berlaku jujur, suami saya hanya seorang houseman (doktor pelatih) yang mana pendapatannya tidaklah terlalu tinggi.
“Jadi banyak komitmen seperti tanggungan ibu bapa, bayaran rumah, kereta yang perlu saya lunaskan. Saya tidak mahu mengecewakan sesiapa.
“Sejujurnya saya tertekan. Tapi ya, saya memang mahukan anak. Saya berharap semuanya akan okey dan berjalan seperti yang dirancang Tuhan,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Terdahulu, Elizabeth mendirikan rumah tangga pada tahun 2021 dalam majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga terdekat dan rakan-rakannya.