Tangguh pengajian jaga ibu terlantar, abang sawan

Tangguh pengajian jaga ibu terlantar, abang sawan

HANIS Azureen Huzaimi bersama abangnya, Hilman Zameer membantu menguruskan ibu mereka yang terlantar di Kampung Manal, Tanah Merah, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH : Seorang penuntut Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) sanggup menangguhkan pelajaran dalam bidang seni bina demi menjaga ibu yang terlantar sakit akibat serangan angin ahmar serta abang berpenyakit sawan.

Hanisya Azureen Huzaimi, 22, berkata, keputusan itu dibuat dengan penuh kerelaan memandangkan dia adalah anak perempuan tunggal yang perlu menguruskan abang serta ibunya.

Katanya, sejak empat bulan lalu keadaan ibunya, Rosydiah Rashidi, 48, bertambah serius selepas mengalami luka di bahagian belakang badan menyebabkan dia lebih banyak terlantar.

“Saya sempat menyambung pengajian selama setahun sebelum menangguhkannya pada 2022 bagi membantu menguruskan ibu memandangkan abang sulung, Hilman Zameer, 23, juga menghidap penyakit sawan sejak berusia 11 tahun. Dia juga bergantung kepada ubat setiap hari.

“Bagaimanapun sejak empat bulan lalu, tahap kesihatan ibu semakin teruk dan disebabkan diabetes, bahagian belakangnya mengalami luka. Ibu kini terlantar dan memerlukan penjagaan rapi untuk mencuci luka, memberi susu khas dan menukar lampin pakai buang, ” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Manal di sini selepas menerima kunjungan wakil Thirdforce Tuan Zaimah Raja Omar.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, keputusan untuk menangguhkan pengajiannya turut dibuat ekoran masalah kesihatannya setelah disahkan mengalami tekanan dan depresi sejak tiga tahun lalu.

Katanya, setiap kali diserang depresi dia akan mengalami sesak nafas, mual, berpeluh dan berada di luar kawalan.

“Keadaan kesihatan saya kini semakin baik namun masih bergantung kepada ubat setiap hari selain perlu mendapatkan rawatan susulan setiap dua bulan di Hospital Tanah Merah.

“Kehidupan saya dan sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan ayah, Huzaimi Zakaria, 51, yang bekerja mengambil upah memotong rumput dengan upah yang tidak menentu. Kami sudah biasa makan nasi berlaukan budu dan semua itu tidak menjadi masalah buat kami, asalkan perut kenyang,” ujarnya.

Hanisya Azureen berkata, ibu dan abangnya menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Hanisya Azureen yang bernombor 03054020792221. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya