IPOH: Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang tidak dapat dilalui kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh di Kilometer 45 laluan itu semalam, sudah dibuka semula kepada semua kenderaan mulai pukul 4.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian tanah runtuh itu pada pukul 11.12 malam, melibatkan kawasan tapak pembaikan cerun yang sedang dijalankan kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurutnya, runtuhan tanah menutup permukaan jalan menyebabkan kenderaan dari kedua-dua arah tidak dapat melalui jalan tersebut dan kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa.
“Pada pukul 4.30 pagi ini, jalan tersebut dibuka semula kepada semua jenis kenderaan setelah kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan selesai dijalankan pihak kontraktor.
“Polis menasihatkan pengguna berhati-hati dan peka dengan keadaan persekitaran jalan sewaktu melalui jalan tersebut terutama semasa cuaca buruk dan tidak menentu bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya. – UTUSAN