KUALA LUMPUR: Pengarah kontroversi, Syamsul Yusof, 39, memberi bayangan bahawa kemelut rumah tangganya akan berakhir hari ini.
Syamsul juga mendedahkan proses percubaan untuk mencari persepakatan dengan cara baik bersama-sama isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, 38, sudah bermula seminggu lalu.
“Percubaan selesaikan secara baik itu berlangsung sejak minggu lepas. Insya-Allah ada jalan penyelesaian yang baik
“Tak perlu suspens, sebab dah berapa lama dah,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, kebajikan anak-anak tetap menjadi keutamaan walaupun perkahwinan mereka berdepan dengan dugaan.
“Saya dan Sarah, kami hanya fikirkan tentang anak-anak sahaja.
“Insya-Allah hari ini mungkin selesai. Harapnya semua baik-baik sahaja,” katanya yang mengakui sedang sibuk menjalani penggambaran Original Gangster.
Terdahulu, hakim Syarie Akmalluddin Ilyas memerintahkan Puteri Sarah selaku plaintif untuk memfailkan dakwaan lafaz cerai yang sudah dibuat sebanyak dua kali oleh Syamsul.
Jika mahkamah mensabit perceraian berlaku sebanyak dua kali, ini bermakna permohonan cerai Puteri Sarah merupakan kali ketiga.
Walau bagaimanapun, peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakili Syamsul menafikan dakwaan berkenaan dan tidak mengetahui dapatan laporan JKP berkenaan memandangkan ia dibuat secara berasingan.
Sebelum ini, pada 25 Mei lalu, Jawatankuasa Pendamai (JKP) memaklumkan ikatan perkahwinan Sarah dan Syamsul Yusof tidak dapat diselamatkan kerana berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan.
Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya pada Januari tahun ini di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangganya sejak empat tahun lalu.
Selain itu, dia juga enggan dimadukan selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3.