KUALA LUMPUR: Mana-mana ahli UMNO yang berniat untuk keluar daripada parti boleh bertindak segera tanpa menunggu masa yang lama.
Perkara itu ditegaskan pembahas Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim dengan berkata, beliau sedih dengan segelintir ahli parti yang mengkhianati perjuangan UMNO selepas parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 2018.
Meskipun tidak dinyatakan secara jelas, namun ia dipercayai merujuk kepada bekas ahli UMNO, Khairy Jamaluddin yang membuat program sendiri menerusi podcast ‘Keluar Sekejap’ bersama ahli UMNO yang turut digantung, Shahril Sufian Hamdan.
“Ada yang nak keluar sekejap kah, keluar lamakah atau keluar teruskah, biarkanlah. Kita move forward dan terus fokus dengan ahli-ahli yang masih setia seperti yang berada di dalam dewan keramat ini yang kita anggap sebagai ‘pejuang parti sejati’ untuk kita bersama membina parti yang telah rosak.
“Jika ada sesiapa yang berhajat, dipersilakan keluar sekarang, tak perlu tunggu lama-lama,” katanya ketika membahaskan ucapan Presiden di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Beliau dalam masa yang sama turut mengingatkan kepada Presiden untuk tidak ‘merangkak’ mahupun ‘merayu’ kepada mereka yang mengkhianati parti, sebaliknya terus bergerak ke hadapan mengharungi cabaran yang ada.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menuntut agar Kementerian Wilayah diwujudkan semula agar kebajikan masyarakat di situ tidak terabai.
“Banyak dasar dan isu yang tertangguh terutamanya dari segi pembangunan sosial yang melibatkan seperti isu perumahan, isu penjaja-peniaga kecil, isu trafik yang bertambah meruncing, isu kos sara hidup dan pelbagai lagi.
“Kementerian Wilayah Persekutuan yang diturunkan pangkat kepada Jabatan Wilayah Persekutuan dalam tempoh tujuh bulan ini gagal membawa halatuju baru kerana punca kuasa dan peruntukkan yang amat terhad.
“Ditambah dengan kesibukan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan dan selaku De Facto Menteri tidak mampu menumpukan perhatiannya dengan masalah, isu dan dasar buat Wilayah Persekutuan. – UTUSAN