Tak kisah tumpang populariti kakak - Utusan Malaysia

Tak kisah tumpang populariti kakak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah memegang status adik kepada bintang terkenal. Selain menjadi mangsa perbandingan, tuan punya badan pasti dilabel ‘tumpang populariti’ sekiranya kemasyhuran tidak memihak kepada mereka.

Pelakon, Alisya Rashid, 23, tenang dan tidak melatah bila dibanding-bandingkan dengan kakaknya, Hanis Zalikha dan dikatakan menumpang ruang glamor pelakon tersebut.

Malah, Nur Sarah Alisya Zainal Rashid tidak melihat menumpang populariti kakak itu sebagai perkara negatif, sebaliknya meraikannya sebagai satu keistimewaan yang tidak dimiliki semua orang.

“Saya akui memang ada pihak yang membanding-bandingkan kami dan tak kurang juga mengatakan saya tumpang populariti kakak. Tetapi percayalah, kami adik beradik saling bangga dan gembira dengan pencapaian masing-masing.

“Jujur, saya memang beruntung kerana dapat tonjolkan bakat dengan cara menumpang popularitinya. Dia buka laluan untuk saya, jadi saya manfaatkan untuk kebaikan. Ia bukanlah perkara negatif, malah saya anggap sebagai satu keistimewaan yang saya dapat,” katanya.

Dilahirkan di Kuala Lumpur, Alisya sebelum ini pernah menjadi pengacara di TV3 dan TV9 sebelum ditawarkan untuk meminjamkan suara bagi watak Yaya menerusi siri animasi BoBoiBoy.

“Ramai yang tak tahu kami sebenarnya masuk industri pada masa yang sama. Dia berlakon di usia 19 tahun manakala saya pula mula menjadi pengacara pada umur 10 tahun.

“Lama kelamaan, kakak menjadi pelakon yang popular di samping saya yang secara perlahan-lahan menapak sebagai pengacara sebelum terjun ke dalam bidang lakonan suara untuk animasi BoBoiBoy.

“Saya memang sudah lama masuk ke dalam dunia seni tetapi orang lebih nampak kakak kerana dia popular dan mempunyai ramai peminat,” kongsinya.

Kata Alisya lagi, dia tidak pernah menyimpan rasa iri atau dengki terhadap populariti dimiliki Hanis, malah berbangga dan menjadikan kakaknya itu sebagai inspirasi untuk berjaya dalam dunia lakonan.

“Industri seni adalah lapangan yang penuh kejutan. Apa yang ditentukan untuk kita itulah yang kita akan dapat. Sebagai adik, saya bangga dan gembira dengan pencapaiannya.

“Saya juga tidak terkesan apabila dibanding-bandingkan. Saya fokus pada diri dan kerjaya, manakala dia sudah pada satu tahap lebih tinggi sekarang. Kategori kami sebenarnya sangat berlainan,” kongsinya.

IMPIAN USIA KECIL

Lakonan merupakan bidang yang diimpikan Alisya sejak di usia kanak-kanak lagi. Katanya, disebabkan itu, dia akan terus cuba tembus masuk dunia lakonan walaupun berkorban masa dan tenaga.

“Impian saya mahu jadi pelakon dan sebab itu saya pergi casting dan uji bakat sejak kecil. Saya juga pernah menjadi pelakon ekstra, antaranya dalam filem 29 Februari yang dibintangi Remy Ishak dan Jojo Goh.

“Ketika terlibat dengan animasi BoBoiBoy selama 10 tahun, saya mencuba nasib dengan menghadiri banyak uji bakat dan sesi pemilihan pelakon. Namun dalam tempoh tersebut, rezeki tidak menyebelahi saya.

“Kalau diberi peluang, memang saya mahu melebarkan sayap dalam dunia lakonan. Sebab itu, sekarang saya ambil kursus teater Inggeris sebagai antara subjek pengajian saya di Universiti Malaya,” kongsinya.

JOURNAL SARA-HAEYO

Impian Alisya menempa nama dalam dunia lakonan mungkin bermula dengan drama bersiri Journal Sara-Haeyo yang kini ditayangkan di platform penstriman dalam talian (OTT), Viu.

Membawakan peranan seorang influencer berperwatakan ceria bernama Layla, Alisya mengakui realitinya dialah Layla dalam dunia sebenar.

“Journal Sara-Haeyo adalah drama bersiri pertama yang saya lakonkan. Jujur saya katakan, watak Layla itu realitinya adalah saya. Saya tak mahu masih wujud Alisya bila lakonkan watak Layla. Itulah cabarannya, membina perbezaan antara Alisya dan Layla,” kongsinya.

Drama bersiri yang ditayangkan setiap Jumaat itu turut membariskan pelakon baru dan lama seperti Arena Wan, Aniq Suhair, Alvin Chong, Andi Bernadee, Adriana Adnan dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya