PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan nasihat kepada bekas ‘mentor politik’, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menghentikan budaya politik lama.
Menerusi akaun Twitter beliau, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu merujuk dakwaan Dr. Mahathir yang mengatakan wujud pihak tertentu mahu menukar nama dan pemilikan Malaysia.
Syed Saddiq menjelaskan, beliau tidak tahu sama sekali ada pihak yang mahu menukar nama negara, sebaliknya ramai yang meletakkan Malaysia satu-satunya rumah mereka.
“Tun yang dihormati, politik lama perpecahan mesti dihentikan. Rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama, sama-sama cintakan negara ini. Mereka mahu melihat Malaysia berkembang menjadi negara maju.
“Pekerjaan yang baik, pengangkutan awam yang baik, tadbir urus yang baik. Saya tidak tahu sama sekali bukan Melayu hari ini yang mahu menukar nama negara kita. Saya tahu ramai yang panggil Malaysia sebagai satu-satunya rumah mereka,” tulis beliau.
Dalam sidang media, Dr. Mahathir mendakwa terdapat pihak tertentu mahu menukar nama dan pemilikan Malaysia.
Bekas Perdana Menteri itu berulang kali mendakwa terdapat percubaan orang dari negara lain untuk mengubah Malaysia daripada Tanah Melayu menjadi negara berbilang kaum.
Beliau juga mendakwa golongan ini enggan mengiktiraf orang Melayu sebagai pengasas, penduduk tempatan dan pembangunan negara. – UTUSAN