TELUK INTAN: Suspek kes samun bersenjata di Kompleks Menara Condong Teluk Intan di sini April lalu, berjaya diberkas di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki tempatan berusia 21 tahun itu diberkas di sebuah kondominium di Jalan Perda Barat pada pukul 12.05 tengah hari.
Katanya, tangkapan ke atas suspek membawa kepada rampasan 23 unit IPhone, satu unit ipad, dua pen tablet jenama Samsung, wang tunai RM853, sebuah kereta dan kunci Proton Wira, beg pakaian dan sekeping kad Touch n’ Go.
“Siasatan mendapati, suspek yang masih bujang itu sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Pulau Pinang.
“Suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah manakala hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya adalah negatif,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam jenayah tersebut dan melakukan samun secara bersendirian.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Dengan tertangkapnya suspek, kita telah berjaya menyelesaikan kes samun di kedai menjual telefon bimbit di Kompleks Menara Condong Teluk Intan,” katanya.
Dalam kejadian pada 3 April lalu kira-kira pukul 3.43 pagi, seorang pengawal keselamatan cedera di kepala selepas bergelut dengan suspek bersenjatakan kapak.
Ketika kejadian, mangsa berusia lingkungan 60-an itu sedang berehat di kaunter tandas di kompleks perniagaan berkenaan.
Suspek kemudian bertindak memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi di kompleks berkenaan dan melarikan kira-kira 70 unit telefon bimbit jenis IPhone yang berada di rak pameran.
Jumlah kerugian yang dialami pemilik kedai dianggarkan sebanyak RM300,000. – UTUSAN