PETALING JAYA: Bekas penyampai radio Suria FM, Anna Al-Juffrey atau lebih dikenali sebagai Anna J meluahkan kekecewaan selepas ditamatkan kontrak dengan notis pemberhentian hanya dimaklumkan dalam tempoh kurang sebulan.
Anna J berkata, tindakan yang dilakukan oleh pihak pengurusan stesen itu dianggap tidak profesional kerana status dirinya bersama Suria FM terkontang-kanting sejak tiga bulan lalu.
“Bayangkan selepas kontrak tamat pada Mac lalu, saya bekerja tanpa sebarang kontrak dan perjanjian baharu. Namun, saya bekerja seperti biasa atas dasar percaya dan menerima gaji seperti biasa.
“Sebabnya bila saya tanya tentang status kontrak, macam-macam alasan diberikan. Saya datang berjumpa DJ Lin (Pengurus Besar Suria FM) dan akhirnya memaklumkan segmen saya terpaksa ditiadakan untuk digantikan dengan slot ulangan pagi Morning Morning Suria. Disebabkan itu, mereka terpaksa mengambil tindakan menamatkan kontrak saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan rekod, Anna J menerima surat penamatan kontrak pada 22 May 2023 . Menerusi surat itu, dia dimaklumkan akan menamatkan tugas pada 18 Jun 2023.
Anna J yang mengendalikan segmen Suria Pagi Show pada setiap hari Sabtu dan Ahad berkata, dia memahami suasana bekerja dalam industri penyiaran dan sambung atau tamat kontrak adalah perkara biasa.
Namun, tindakan tidak matang pihak stesen menjadi pertikaian sekali gus boleh menjejaskan kariernya sebagai penyampai radio.
“Kalau dimaklumkan lebih awal, saya tidaklah terkilan. Agak ralat juga kerana tiada sebab yang kukuh. Mungkin disebabkan saya hanyalah penyampai hujung minggu.
“Mujur saya masih ada kontrak sebagai pengacara dengan sebuah stesen televisyen. Dapat juga bayar komitmen bulanan,” luahnya.
Utusan Malaysia berusaha mendapatkan DJ Lin bagi mengulas lanjut berhubung isu ini.