Sungai Klang bertambah baik, 86,021 tan metrik sampah dibawa keluar - Utusan Malaysia

Sungai Klang bertambah baik, 86,021 tan metrik sampah dibawa keluar

Sungai Klang
SYAIFUL Azmen Nordin memberikan taklimat di hadapan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Majlis Taklimat Kerjasama LLSB dengan MBI bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jaringan Malaysia dan Brunei dekat Mangrove Point di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kualiti air Sungai Klang dilaporkan meningkat daripada kelas lima yang menjadi petunjuk tercemar dan berbahaya kepada kelas tiga hingga satu selepas inisiatif pembersihannya dilakukan sejak 2016 hingga 2022.

Malah, dalam tempoh tersebut sebanyak 86,021 tan metrik sampah terapung bersamaan dengan berat 470 buah pesawat Boeing 747 ditarik keluar dari sungai tersebut.

Angka tersebut mencatatkan penurunan sebanyak 63 peratus pada 2022 berbanding 2016 dan melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) Fasa 1 yang menyasarkan pengurangan sebanyak 40 peratus.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) yang mengendalikan projek tersebut, Syaiful Azmen Nordin, berkata projek pemberishan itu menyaksikan pengeluaran 6,117 tan sampah terapung sebulan berbanding garis dasar pada 2016 sebanyak 16,408 tan. 

“Penyelesaian pembersihan sungai Gerbang Maritim Selangor (SMG) termasuk tujuh tujuh pengadang sampah atau log boom berserta dua interceptor menerusi kerjasama dengan organisasi bukan berasaskan keuntungan antarabangsa, The Ocean Cleanup. 

“Keadaan air yang bertambah baik membolehkan haiwan sungai kembali seperti memerang, buaya, burung migrasi, helang, spesies ikan, serta flora dan fauna sungai dan laut lain di Sungai Klang secara amnya, dengan ketam rebab kecil, ikan belacak dan cacing polychaeta di taman paya bakau Mangrove Point,” katanya ketika menghadiri Majlis Taklimat Kerjasama LLSB dengan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI) bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jaringan Malaysia dan Brunei, hari ini.

Beliau menambah, kualiti air Sungai Klang dipantau empat Sistem Pengurusan Kualiti Air yang ditempatkan di sepanjang Sungai Klang. Malah, tiada insiden pembuangan haram dilaporkan pada 2022 susulan pemantauan dan peningkatan kesedaran mengenai pemuliharaan.

Dalam pada itu, Syaiful Azmen memaklumkan pembersihan sungai ikonik itu sejajar dengan matlamat menjadikan Sungai Klang sebagai penjana ekonomi utama menerusi Zon Pembangunan Ekonomi (ZPE) SMG.

“Salah satu projek utama di bawah rancangan tersebut ialah projek mitigasi banjir yang akan meningkatkan kapasiti sungai itu sebanyak 40 peratus menerusi Projek Mendalam dan Melebarkan Sungai Klang, yang dilaksanakan di bawah Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM). 

“Ia menyasarkan 12 zon dengan empat blok utama di sepanjang sungai yang dikenal pasti sebagai paling berisiko berlakunya banjir kerana dasar sungai yang cetek akibat pengumpulan mendapan sejak berdekad lamanya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya