Sultan Terengganu berkenan santap bersama warga istimewa, fakir miskin - Utusan Malaysia

Sultan Terengganu berkenan santap bersama warga istimewa, fakir miskin

SULTAN Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah (dua dari kiri) berkenan mengurniakan sumbangan kepada seorang warga istimewa pada majlis bersantap di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan baginda di Istana Syarqiyyah, dekat Chendering, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada majlis tersebut, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 400 penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya(OKU) dan fakir miskin dengan jumlah keseluruhan bernilai RM200,000.

Penerima melibatkan 100 yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, 200 bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dan 100 golongan ibu tunggal bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.

Sementara itu, beberapa penerima yang ditemui berkata mereka terharu dengan sumbangan tersebut kerana dapat meringankan beban kewangan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Seorang tukang urut, Husna Abdullah, 43, berkata, sumbangan sebanyak RM500 yang diterima itu akan digunakan untuk membeli keperluan dapur dan bahan masakan  untuk hidangan lima anaknya pada hari raya ini.

“Suami saya, Abdullah Mohamad, 45, hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu. Bila dapat duit ini, syukur sangat rasanya, lega perbelanjaan untuk bulan ini,” katanya. 

Seorang OKU fizikal, Norhayati Mohamed, 43, dari Setiu pula berkata, dia teruja kerana diraikan dalam suasana istimewa pada majlis santapan di Istana Syarqiyyah hari ini.

“Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke istana dan seronok dapat menerima sumbangan wang tunai secara terus daripada Sultanah Nur Zahirah.

“Pengalaman ini tidak akan saya lupakan seumur hidup dan berharap agar pentadbiran Tuanku sentiasa berjalan lancar agar rakyat jelata dapat manfaatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya