Sultan Sallehuddin harap sejarah Kedah, Pulau Pinang tidak dinoktah melulu

Sultan Sallehuddin harap sejarah Kedah, Pulau Pinang tidak dinoktah melulu

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berangkat ke Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan harapan agar isu berkaitan sejarah Kedah terutama pajakan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu, sebaliknya dibincangkan demi rakyat negeri ini.

Titah baginda, hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanyalah dipajak perlu diperjelas secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.

“Sejak akhir-akhir ini, perbincangan mengenai sejarah Kedah mulai subur di pelbagai platform. Rakyat daripada segenap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai sejarah Kedah khususnya berhubung kedudukan Kedah dan Pulau Pinang.

“Pada hemat beta perkembangan ini adalah satu perkembangan yang baik. Beta berharap agar minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-81 di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Bagaimanapun, baginda menegaskan perbincangan mengenai perkara itu perlu disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.

“Adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang. Hal ini kerana sejarah adalah sumber kebijaksanaan terpenting dalam mengajar kita seni bernegara,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, sejarah tidak dapat dipisahkan daripada peradaban sesebuah bangsa apatah lagi Kedah mempunyai sejarah amat panjang sejak berkurun lamanya.

“Dalam tempoh melayari peradaban dari satu zaman ke satu zaman, kita menyaksikan Kedah melalui pelbagai peristiwa peperangan, persahabatan, rundingan dan perjanjian dimeterai. Ekoran rentetan sejarah tersebut serta hasil persetujuan negeri-negeri, maka tertubuhlah Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia. 

“Bagi mentadbir Malaysia, sebuah kerajaan di peringkat Pusat iaitu Kerajaan Persekutuan ditubuhkan dengan kerajaan-kerajaan sedia ada di peringkat negeri dikekalkan. Kuasa dinikmati Kerajaan Persekutuan hari ini adalah hasil pemberian negeri-negeri melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang dimeterai pada tanggal 5 Ogos 1957,” titah baginda.

Tambah baginda, tidak wajar untuk mendiamkan suara rakyat negeri ini berhubung sejarah dan kedaulatan Kedah dan pembentukan Malaysia juga tidak menjadi titik yang membenarkan sejarah negeri yang wujud sejak sekian lama dipadam.

Titah baginda, peristiwa lampau itu juga meletakkan Kedah dalam keadaan yang sukar dan terpaksa bersetuju dengan perjanjian-perjanjian berat sebelah sekaligus perlu dijadikan pedoman.

“Perjuangan menjaga hak dan kedaulatan negeri kini bukan lagi di medan perang sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan negeri terdahulu. Medan perjuangan kini adalah di meja-meja rundingan dan melalui tinta-tinta tulisan.

“Namun begitu, keberanian yang ditunjukkan oleh pahlawan terdahulu sebagaimana yang terpahat dalam lipatan sejarah Perang Musuh Bisik pada kurun ke-19 harus dicontohi dan dihayati oleh generasi masa kini,” jelas baginda.

Oleh itu, Sultan Sallehuddin berharap sejarah negeri akan terus dihayati oleh semua pihak kerana ia cukup bernilai tinggi memandangkan sejarah tidak boleh dibeli melainkan ditempa dengan darah dan air mata. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya