TAPAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Terdahulu, baginda turut berkenan memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 102 anggota dan tiga pegawai dari Batalion 3 PGA yang diketuai Deputi Superintenden Khairul Marwan Kahar.
Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan lafaz perasmian diikuti menandatangani plak sebagai simbolik perasmian sebelum berangkat melawat pameran yang disediakan.
Sementara itu, Acryl Sani dalam ucapannya berkata, proses menaiktaraf Kem Batalion 3 itu melibatkan dua fasa pembinaan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM322 juta.
Katanya, fasa pertama pembinaan bermula pada Februari 2008 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2011 dengan menelan belanja sebanyak RM69 juta.
“Antara infrastruktur yang dibina bagi fasa pertama ialah dewan rekreasi, lapang sasar, sub-station Tenaga Nasional Berhad (TNB), loji rawatan
kumbahan, 32 unit banglo kelas C, D dan E serta 173 unit rumah teres kelas F.
“Bagi pembangunan fasa kedua pula, ia dilaksanakan pada 15 September 2008 dengan menelan belanja sebanyak RM253 juta. Fasa kedua ini telah selesai sepenuhnya pada 16 Mei 2012,” katanya.
Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf fasa kedua itu termasuk melibatkan balai tabik, drillshed, padang kawad, klinik, dewan makan, litar rentas halangan, tabika dan 429 unit kuarters kelas F.
“Pembinaan kemudahan-kemudahan di kem ini membuktikan komitmen tinggi kerajaan untuk memperkasakan lagi pelan keselamatan bagi melindungi rakyat dan menjaga keamanan tanah air.
“Selain menjadi mercu kebanggaan, prasarana dan kelengkapan yang terdapat di kem ini mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif sekali gus meningkatkan moral warganya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Kem Batalion 3 PGA Bidor mula beroperasi pada 8 Februari 1984, selepas kesemua fungsi pentadbiran ibu pejabat Batalion 20 Pasukan Polis Hutan (PPH) dipindahkan ke kem itu.
Ekoran dari pengecilan dan penggabungan Batalion-Batalion PPH di seluruh Malaysia, pada 1 Januari 1993, Batalion 20 PPH telah diubah menjadi Batalion 3 PPH melibatkan pertukaran ‘Beret Merah Maroon’ kepada ‘Beret Biru’.
Kemudiannya, pada 1 November 1997 nama Pasukan Polis Hutan (PPH) telah ditukar kepada Pasukan Gerakan Am (PGA). – UTUSAN