ARAU: Sukan kanu berpotensi bagi melonjakkan nama negeri ini di persada dunia sekiranya fasiliti dan kemudahan disediakan dapat ditambah baik menerusi bantuan pihak berwajib.
Ini terbukti apabila atlet sukan tersebut dari negeri ini pernah meraih kemenangan dalam beberapa kejohanan dalam dan luar negara.
Penaung Persatuan Kanu Perlis, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, bagaimanapun, pihak pengurusan sukan itu terpaksa bergelut dengan isu dana bagi menyediakan fasiliti mencukupi sebagai persediaan atlet dalam menyertai mana-mana kejohanan yang dianjurkan.
“Atlet sukan kanu di negeri ini amat kekurangan fasiliti bagaimanapun mereka berjaya menyumbang banyak pingat dalam beberapa kejohanan. Saya percaya kalau fasiliti ini ditambah baik, sukan ini mampu membawa nama Perlis lebih jauh sekali gus menarik orang luar ke negeri ini bagi melihat pembangunan sukan kanu di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Zikri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang berkata,
pihaknya juga berharap agar sukan kanu dapat diletakkan sebagai antara sukan teras di Perlis dalam melahirkan lebih ramai pelapis masa hadapan.
Katanya, sukan kanu perlu diberi penekanan oleh semua pihak memandangkan potensi besar mampu ditonjolkan oleh atlet-atlet dari negeri ini.
“Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini juga pernah menyatakan untuk menilai semula sukan teras sedia ada dalam usaha memperbaiki mutu sukan negara.
“Jadi adalah wajar sekiranya sukan kanu ini turut diletakkan di bawah sukan teras memandangkan potensi besar dalam sukan berkenaan,” katanya.
Tambahnya, pihak berkaitan juga disaran agar dapat turun ke lapangan bagi meninjau secara dekat fasiliti yang digunakan atlet sukan kanu di negeri ini bagi membantu dalam penyaluran dana.
“Turun dan lihat sendiri. Selama ini mereka banyak menggunakan wang sendiri dan sekiranya mendapat sedikit sumbangan bagi membantu pembangunan sukan ini,” katanya.-UTUSAN