PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini bersetuju meneruskan pemberian subsidi dan kawalan harga ayam serta telur selepas 1 Julai ini.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi kenyataan akhbar bersama hari ini.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan KPKM dan KPDN supaya pemberian subsidi dan kawalan harga ayam serta telur itu diteruskan.
“Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela.
“Pemberian subsidi dan kawalan harga ini dibuat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia Madani,” katanya.
Sebelum ini, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan tiada lagi subsidi ayam dan telur daripada kerajaan bermula 1 Julai ini.
Beliau dilaporkan berkata, penamatan tersebut membolehkan KPDN menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun berbanding harga siling runcit ketika ini.
“Ia termasuk memansuhkan sekatan eksport ayam pedaging hidup, ayam bulat, membenarkan pengimportan ayam dan telur daripada pelbagai negara sumber yang diiktiraf termasuk Thailand, China, Brazil, Denmark dan Ukraine,” katanya.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu memutuskan untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2023. – UTUSAN