Subsidi bersasar tidak mudah, tapi akan dilaksana

Subsidi bersasar tidak mudah, tapi akan dilaksana

Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai ketika melawat Pusat Penjaja Madani di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mahu melaksanakan mekanisme subsidi bersasar secepat mungkin.

Bagaimanapun Perdana Men­teri berkata, pelaksanaan itu bukan suatu yang mudah, namun kerajaan sedang mengusahakannya.

“Kita ada pasukan, terdapat beberapa proposal (cadangan), tetapi kami sangat tidak yakin dari segi keberkesanan semasa pelaksanaannya, ia sangat kompleks. Misalnya (subsidi) elektrik, kita tahu rumah, kilang, maka ia okay.

“Tetapi diesel susah, ka­dang­kala boleh ambil dari kereta kecil pass (serah) ke kereta besar, perkara ini sedang dikaji.

“Kerajaan sedang usahakan ke arahnya. Saya tidak pasti dan tidak mahu nyatakan komitmen (untuk jangkaan tempoh pelaksanaan), tetapi secepat mungkin,” katanya.

Anwar menjelaskan, subsidi bersasar bermaksud bantuan yang hanya diberikan kepada golongan yang sepatutnya dan bukan kumpulan kaya.

“Sekarang ini subsidi yang kaya pun dapat. Orang lain 90 peratus yang layak berilah. Ini Mercedes, Rolls-Royce semua dapat subsidi,” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Pusat Penjaja Jalan Tuanku Abdul Rahman pada pukul 9.05 pagi sebelum beramah mesra bersama peniaga di sini.

Anwar juga menurunkan tandatangan ke atas plak pe­rasmian sebagai Pusat Penjaja Madani Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Beliau sempat menikmati sarapan roti canai, nasi lemak sambal udang dan kuih-muih serta meluangkan masa hampir 30 minit bersama persatuan penjaja dan peniaga kecil di sini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, negara belum bersedia melaksanakan pengasingan subsidi kerana ketiadaan pangkalan data yang komprehensif dan dinamik meliputi pendapatan serta perbelanjaan sekurang-kurangnya setiap bu­lan bagi semua individu di negara ini.

Ketika ini, kerajaan masih tidak mempunyai data atau ke­banyakan data tidak terkini dan ‘bersepah’ antara agensi kera­jaan sekali gus menyukarkan pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar itu.

Dalam masa sama media melaporkan, kerajaan mahu menghapuskan pengkelasan B40, M40 dan T20 secara berperingkat mulai tahun depan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilapor berkata, semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi menyeluruh manakala pengkelasan B40, M40 dan T20 dihapuskan secara berperingkat mulai 2024.

Sebelum ini, Anwar dilapor berkata, kerajaan akan membangunkan sebuah pangkalan data utama (PADU) bagi mengumpul seberapa banyak maklumat sosio ekonomi isi rumah sekali gus membantu kerajaan mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Anwar berkata, Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (NACSA, MKN) akan menjadi punca kuasa undang-undang untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber.

Kata beliau, rang undang-undang keselamatan siber akan digubal segera bagi menambah baik keberkesanan fungsi-fungsi NACSA, MKN sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS).

“Tiada kompromi terhadap keselamatan negara dalam domain digital dan ekosistem siber. NACSA, MKN akan menjadi agensi tonggak untuk menggembleng usaha dan ikhtiar merentas pelbagai entiti kerajaan serta pihak industri di dalam hal ini,” katanya.

Anwar berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara di Putrajaya, Selasa lalu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya