KOTA TINGGI: Seorang isteri terkilan kerana tidak sempat menyediakan lauk yang diminta suaminya untuk dibawa sebagai bekal ke tempat kerja.
Siti Zubaidah Amit, 37, berkata, suaminya, Mohd. Azizi Muhamad, 41, memintanya memasak lauk ikan bilis bawang kentang masak kicap petang semalam sebelum dia maut dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Lok Heng – Mawai malam tadi semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Bukit Waha dari tempat kerjanya.
“Suami bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang di Ulu Tiram dan setiap hari berulang-alik menaiki motosikal ke tempat kerja. Sepatutnya dalam pukul 9 malam biasanya dia sudah sampai rumah, namun malam tadi pukul 9 lebih dia masih belum pulang.
“Tidak lama lepas itu saya dapat panggilan daripada adik ipar maklumkan suami sudah ‘tiada’, saya cuba hubungi telefon bimbit suami dan orang lain angkat meminta saya ke lokasi kejadian melihat sendiri keadaan suami ternyata dia sudah meninggal dunia.
“Saya agak terkilan kerana petang itu dia ada beritahu hendak makan lauk ikan bilis bawang kentang goreng kicap untuk dibawa bekal ke tempat kerja pagi ini namun tidak kesampaian, ” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi semalam.
Ibu kepada dua orang anak itu memberitahu sebelum ini mereka menetap di Pasir Gudang, namun berpindah ke Felda itu sejak setahun lalu kerana perlu menjaga ibu bapanya yang tidak sihat.
Suaminya dilihat kurang bercakap sejak akhir-akhir ini terutama dengannya.
Dia reda dengan kejadian yang berlaku dan memaklumkan jenazah suaminya dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Felda Sening, dekat sini.
Dalam pada itu, polis sedang mengesan pemandu Proton Wira yang menghilangkan diri selepas terlibat kemalangan
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, lelaki tersebut berumur 25 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Proton Wira menghala ke Mawai gagal mengawal kenderaan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.
“Akibat dari kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta pula meninggalkan tempat kejadian dan usaha mengesan beliau sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – UTUSAN