‘SAHAM’ selebriti wanita di Malaysia sedikit jatuh sekiranya sudah mendirikan rumah tangga atau menimang cahaya mata.
Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad, 30, merasai semua itu apabila ditolak beberapa kali membintangi drama dan mengacarakan program televisyen tempatan.
Namun rezeki tidak pernah salah alamat. Uyaina menganggap itu sebagai takdir yang melorongnya ke semua tawaran lain jauh di Indonesia.
Dia sekali lagi dipanggil mengacarakan program popular D’Academy Asia musim keenam menampilkan 40 peserta daripada lapan buah negara.
Berkali-kali Uyaina berfikir sebelum menerima tawaran itu. Maklumlah, sekarang dia sudah berkahwin dan membesarkan anaknya Raja Urhan yang belum lagi berusia setahun.
“Sebenarnya ramai yang terlibat dalam program ini tidak dipanggil semula seperti mummy Mas Idayu. Namun saya terharu walaupun saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, mereka masih percayakan saya untuk mengacara.
“Bila saya kongsikan berita ini dengan suami, Raja Syahiran, dia suruh saya pergi. Dia menambah lagi semangat dan keyakinan saya untuk ke Indonesia. Dia juga izinkan saya bawa Urhan bersama.
“Suami tidak pernah menghalang cita-cita saya. Bahkan sebelum kami berkahwin, dia berpesan kalau saya mahu berlakon atau mengacara jauh ke Indonesia, dia akan benarkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
SUAMI JADI KEKUATAN
WALAUPUN berjauhan dengan suami tercinta, Uyaina atau mesra disapa sebagai Yana akan selalu berhubung menerusi panggilan video setiap hari.
Itu sahajalah cara Syahiran melepaskan rindu buat keluarga kecilnya di Jakarta. Jika berkesempatan, sesekali Syahiran akan terbang melawatnya di Indonesia.
Uyaina bersyukur apabila pihak produksi sudi menyediakan kemudahan sebuah rumah untuk dirinya menguruskan anak dengan selesa.
Di Jakarta, Uyaina tinggal berempat iaitu bersama-sama anak, ibu dan pembantunya.
“Saya beri syarat kepada produksi untuk menyediakan saya sebuah rumah untuk memudahkan urusan menjaga anak. Saya juga khuatir sekiranya mereka tidak dapat memenuhi permintaan saya.
“Namun semuanya dipermudahkan. Mereka menyediakan sebuah apartmen yang mewah dan sangat selesa. Semuanya melebihi jangkaan saya.
“Jadual saya pula sangat sibuk. Setiap hari pada pukul 6 petang saya bertolak ke studio dan pulang tengah malam. Mujurlah ibu sangat memahami. Jika saya letih, dia akan uruskan Urhan,” tambahnya.
Sepanjang mengacarakan D’Academy Asia, Uyaina mengakui bakat mengacaranya semakin tajam.
Tidak selalu duduk di bangku selesa, Uyaina tidak hanya menjaga masa siaran dan mengemudi acara, malah dia juga menterjemah dan sedang mempelajari banyak bahasa untuk memperkaya pengalamannya.
“Saya tidak nafikan sepanjang mengacara Wanita Hari Ini (WHI) selama bertahun-tahun, ia banyak mengembangkan kemahiran pengacaraan saya. Ia banyak membantu saya mengelola rancangan D’Academy Asia yang bersiaran selama tiga jam.
“Saya juga bersyukur kerana ketika saya berkongsi tawaran yang diterima dari Indonesia kepada pasukan WHI, mereka turut gembira dan menggalakkan saya untuk terbang,” tambahnya.
AIDILADHA BERMAKNA DENGAN KELUARGA
Ini merupakan kali pertama Uyaina menyambut Aidiladha di luar negara tanpa kemeriahan sanak saudara. Namun memandangkan suaminya bakal tiba di Jakarta bagi menyambut raya bersama-sama, Uyaina merasa hidupnya sempurna.
“Sambutan raya haji di sini pun besar cuma ini kali pertama saya menyambutnya di luar Malaysia.
“Walaupun tiada sanak saudara, saya bersyukur kerana ibu memang di sini. Suami pula akan tiba di Jakarta hari ini. Walau tiada rendang, raya saya bersama-sama keluarga sudah cukup sempurna,” katanya menamatkan perbualan.