PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat dakwaan pembabitan pemimpin politik dalam kegiatan perjudian dalam talian.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyiasat tohmahan terbabit.
“Saya sahkan memang kita ada menerima laporan dan maklumat-maklumat tertentu.
“Jadi kita sedang siasat berhubung dakwaan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pemerhati Rasuah Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedang berkongsi maklumat dengan SPRM berkaitan siasatan pembabitan pemimpin politik dalam kegiatan perjudian dalam talian.
Acryl Sani dilaporkan berkata, ini bagi menentusahkan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
Kelmarin, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram dinaungi pemimpin politik.
Beliau dilaporkan berkata, elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PRDM serta kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.
Kata beliau, pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan sebuah parti politik menerima dana wang judi ketika pilihan raya umum sebelum ini, Azam berkata, pihaknya sedang menyiasat berhubung selepas menerima laporan berkaitan isu terbabit.
“Saya tidak boleh nak kata melibatkan mana-mana parti dinamakan, cuma kita mengesahkan akan menyiasat dan sedang menyiasat berhubung ada parti pokitik yang dibiayai oleh pihak judi,” jelasnya.
Pada 30 Mei lalu, seorang individu yang tampil membuat laporan kepada SPRM dengan dokumen tertentu selain menggesa siasatan terhadap dakwaan sebuah parti menerima dana daripada syarikat-syarikat perjudian yang juga digunakan untuk kempen pilihan raya. – UTUSAN