PUTRAJAYA: Permohonan sebagai pemerhati mewakili organisasi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri dibuka mulai hari ini sehingga 7 Julai depan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, setiap permohonan adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian bagi proses-proses pilihan raya seperti penamaan calon, berkempen, pengundian awal dan pengundian biasa.
Ini termasuk pengiraan undi dan penjumlahan rasmi undi sehinggalah pengisytiharan keputusan pilihan raya.
“SPR mengingatkan agar mereka yang berminat untuk menyertai program ini supaya mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup yang ditetapkan.
“Sila layari Portal SPR di alamat https://www.spr.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memuat turun Borang Permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN