IPOH: Kecemerlangan kakak dan dua abang yang memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendorong Arissa Sofiya Abd. Rahman, 18, untuk meraih kejayaan serupa.
Usaha dan penat lelah anak keempat dari lima beradik itu menelaah pelajaran membuahkan hasil apabila merekodkan kejayaan sama dalam peperiksaan SPM 2022 yang diumumkan hari ini.
Arissa Sofiya yang memperoleh gred cemerlang 9A iaitu 4A+, 3A dan 2A- itu menganggap kejayaan tersebut sebagai hadiah untuk kedua ibu bapanya.
“Tiga adik beradik saya juga bersekolah di sini dan mereka semua memperoleh keputusan cemerlang 9A. Jadi, saya cuba kekalkan tradisi ini supaya ibu bapa saya tidak kecewa.
“Saya meletakkan pencapaian mereka sebagai sasaran dan mengaggapnya sebagai cabaran buat diri. Alhamdulillah, syukur saya berjaya mencapainya,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini hari ini.
Menurut Arissa Sofiya, dia yang selesa mengulang kaji pelajaran pada awal pagi akan menyediakan jadual waktu sendiri dan memberi lebih tumpuan kepada mata pelajaran yang lemah.
Katanya, dia juga beruntung apabila adik beradiknya yang lain tidak lokek memberi tunjuk ajar bagi memastikan dia memahami sesuatu mata pelajaran.
“Semasa tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan belajar secara dalam talian, ramai yang menghadapi kesukaran untuk belajar.
“Ketika itu, ibu selalu pesan agar saya tidak leka dan jangan sesekali tinggalkan kelas dalam talian. Syukur, kesukaran itu berbaloi dengan keputusan yang diperoleh hari ini,” katanya.
Tambah Arissa Sofiya, dia yang bercita-cita menjadi doktor Obstetrik dan Ginekologi merancang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil. – UTUSAN