SPM 2022: 21 pelajar MRSM Sungai Besar dapat semua A, khatam 30 juzuk al-Quran

SPM 2022: 21 pelajar MRSM Sungai Besar dapat semua A, khatam 30 juzuk al-Quran

SERAMAI 29 orang pelajar MRSM Sungai Besar berjaya mendapat gred A untuk semua mata pelajaran SPM 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BESAR: Seramai 21 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Menurut Pengetuanya, Shahariman Abdul Rahman, jumlah itu dalam kalangan 29 pelajar mendapat semua A sekali gus meletakkan MRSM Ulul Albab itu (program tahfiz) pada kedudukan 10 terbaik daripada keseluruhan 55 buah MRSM di seluruh negara.

Beliau berkata, sekolah berkenaan mencapai gred purata maktab 1.947 iaitu merupakan rekod pencapaian SPM terbaik sepanjang penubuhan MRSM Sungai Besar yang mula beroperasi pada tahun 2016.

“Seramai 18 orang pelajar mendapat 10A, manakala 9A (25 orang), 8A (20 orang) dan 7A (21 orang). Hampir kesemua subjek yang diambil oleh calon SPM 2022 mengalami peningkatan gred purata subjek.

“Kejayaan ini sudah semestinya tidak akan dapat dicapai tanpa usaha keras para pendidik MRSM Sungai Besar yang bertungkus-lumus siang dan malam menjalankan kelas bersama para pelajar bagi mendapatkan keputusan cemerlang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shahariman berkata, seramai 106 daripada keseluruhan 167 pelajar SPM 2022 telah tamat 30 juzuk al-Quran.

MRSM Sungai besar antara tiga MRSM program Ulul Albab selain MRSM Kepala Batas dan MRSM Kota Putra berada pada kedudukan 10 terbaik MRSM bagi pencapaian SPM 2022.

Sebanyak tujuh buah MRSM menawarkan program Ulul Albab iaitu program pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada (Sains Tulen) dengan program aliran agama termasuk Tahfiz Al-Quran.

Program pendidikan Ulul Albab ini akan melahirkan ahli profesional, teknokrat, usahawan yang mempunyai kemahiran di dalam bidang keagamaan berlandaskan al-Quran dan Al-Sunnah sebagai generasi Ulul Albab.

“Sokongan kuat daripada ibu bapa turut menjadi penyumbang kepada pencapaian SPM 2022. Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada guru-guru dan ibu bapa yang bekerjasama ibarat serumpun bak serai, susun bak sireh dalam usaha melahirkan generasi madani yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Tahniah diucapkan kepada semua calon SPM 2022 atas kecemerlangan. Selamat maju jaya dan semoga terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya