SKC, KLAN berani pertaruh karya baharu - Utusan Malaysia

SKC, KLAN berani pertaruh karya baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAK terjangka, pada tahun 2023, masih ada kugiran lama yang muncul dengan terbitan baharu.

Ketika rakan-rakan seusia mereka lebih selesa terus bergantung dengan karya lama, Spiral Kinetic Circus (SKC) dan KLAN berani mempertaruhkan karya baharu, masuk bersaing dengan wajah-wajah baharu industri.

Kalau mahu jujur, kedua-dua terbitan oleh SKC dan KLAN bukanlah yang terbaik saya jumpa tahun ini. Itu kalau saya mahu nilai terbitan ini secara meritokrasi melulu – letakkannya sebaris dengan terbitan-terbitan lain yang lebih sofistikated dan terkini bunyiannya.

Tapi penilaian saya perlu pragmatik. SKC sudah lebih tiga dekad berkarya. KLAN, walaupun sebagai sebuah unit muzik masih baharu tetapi ahli terasnya juga sudah lebih tiga dekad berkarya.

Jadi, saya perlu nilai dua terbitan ini sebagai usaha mereka untuk terus menggerakkan otot-otot muzik.

Kalau mahu bawa perubahan atau meninggikan piawaian industri, tanggungjawab itu telah mereka laksana lama dahulu.

Indie Rock ‘N’ Roll oleh KLAN

KLAN merupakan kugiran projek oleh Megat Hafiz yang kini mahu dikenali sebagai Max, nama besar dalam lapangan muzik alternatif Malaysia sejak pertengahan 90-an. Selain terus aktif bersama A.C.A.B, Max turut menggerakkan KLAN atau nama lamanya Addukhan sejak lebih sedekad lalu.

Walaupun sudah tertubuh lama, EP Indie Rock ‘N’ Roll merupakan terbitan pertama mereka. Tetapi malangnya, walaupun EP itu baru dilancarkan pada Mac lalu, Max sudah mengumumkan perpisahannya dengan anggota KLAN lain bulan lalu.

Namun, saya fikir KLAN akan muncul semula nanti dengan barisan baharu. Atau sekurang-kurangnya, lagu-lagu dalam EP ini akan tetap dimainkan jika Max menerima undangan persembahan secara solo.

Berkenaan EP Indie Rock ‘N’ Roll, tidak banyak yang boleh diulas memandangkan ia hanya diisi empat trek dan beberapa trek juga sudah lama dicipta kecuali Stone Island Tonight yang ditulis pada 2020.

Saya fikir, itu yang membuatkan trek tersebut yang paling menarik dalam EP ini. Melodinya lebih menangkap selain susunan yang berkesan.

Saya anggap EP ini sebagai hadiah untuk peminat tegar Max, A.C.A.B dan jalur muzik alternatif British di Malaysia. Untuk menilai kemampuan KLAN yang sebenar, saya perlu tunggu terbitan seterusnya, jika ada.

Dari segi kurasi dan produksi, EP ini tidak cukup kuat untuk dinilai sebagai teras karya KLAN. Pengalaman mendengarnya bercelaru dengan susunan topik lagu yang pelbagai – ada cerita wanita, bola sepak dan sirah. Namun, ia diikat dengan identiti bunyi yang diterajui Max dengan baik.

Saya harap Max masih ada semangat untuk meneruskan KLAN. Selain produk baharu untuk A.C.A.B, potensi KLAN juga berbaloi untuk diteroka.

Murderous Eyes – The Death of Iris oleh Spiral Kinetic Circus

Album 29 trek oleh SKC ini lebih menarik dan eksperimental. Reka sampulnya menarik dengan bantuan manipulasi oleh kecerdasan buatan (AI). Bungkusan album ini juga disertai pelbagai cenderamata, termasuk hasil lukisan tangan vokalis, Fathul.

Setiap lagu dalam album ini diselang-seli dengan trek instrumental elektronik yang membuatkan kita seperti berpindah-pindah antara dimensi masa.

Lagu-lagunya masih pekat bunyian alternatif lewat 90-an dan awal 2000-an. Saya suka kerana bunyian sebegini tidak panjang umurnya di Malaysia dahulu. Tenggelam terlalu awal, belum sempat ia matang-sematangnya.

Album ini juga mengandungi lima trek 90’s Revival, koleksi demo yang pernah diterbitkan bersama Dead Mushroom pada 1996. Tiga lagi lagu yang dikategorikan sebagai B-Sides pula lagu SKC yang tidak pernah diterbitkan, hasil rakaman di Kamar Seni Studio pada 2016.

Melalui album ini, SKC membuktikan yang mereka masih relevan untuk industri dan lapangan. Lagu-lagu yang disenaraikan dalam album ini kalau diperdengarkan kepada generasi muda, ada peluang untuk mereka diminati.

Kalau pun mahu cari kelemahan, mungkin pada melodi yang tidak terkini. Namun, ia tetap subjektif.

Dan seperti yang saya katakan pada awal artikel, album ini tidak boleh dinilai sebaris dengan wajah-wajah baharu yang ada. Pengalamannya berbeza, perseki­tarannya berbeza, pengetahuannya berbeza.

Kalau SKC cuba jadi terkini, saya fikir ia akan kedengaran dibuat-buat. Tak menarik.
Paling penting bagi saya, album ini membuka peluang untuk saya teroka proses sebuah kugiran berusia lebih tiga dekad berkarya. Terima kasih, SKC!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya