Sindiket dadah antarabangsa: JKDM digesa tingkat risikan, pemantauan

Sindiket dadah antarabangsa: JKDM digesa tingkat risikan, pemantauan

AHMAD Maslan beramah mesra dengan pegawai kastam selepas merasmikan Mesyuarat AEO di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) digesa mempertingkat risikan dan pemantauan di semua pintu masuk negara susulan kejayaan membanteras dua kes penyeludupan antarabangsa berskala besar awal bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk. Seri Ahmad Maslan berkata, dua kes itu didapati menjadikan Malaysia sebagai transit dan ia sangat memeranjatkan, malah memberi nama tidak baik kepada Malaysia di peringkat perkastaman dunia.

Beliau menegaskan, kerajaan memandang serius kes penyeludupan antarabangsa itu dan akan melihat lebih lanjut di mana ketirisan yang berlaku.

“Dari segi untuk menuduh berlaku amalan rasuah dalam kes penyeludupan itu, ia memerlukan tindakan teliti, namun pada saya usaha meningkatkan integriti dalam JKDM sentiasa berlaku.

“Saya tidak salahkan pegawai kastam ada terlibat dan sebagainya tapi ia adalah sindiket antarabangsa yang hebat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Program Authorised Economic Operator (AEO) di sini, hari ini.

Katanya, beliau berpandangan JKDM masih sebuah agensi berintegriti kerana jika tidak, kes penyeludupan antarabangsa itu tidak berjaya dibanteras.

Beliau juga mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mempertimbangkan segera penambahan perjawatan dalam JKDM bagi mengatasi kekangan dihadapi agensi itu khususnya di pintu sempadan negara.

“Walaupun berdepan kekangan tugas dan kakitangan, namun JKDM masih mampu melaksanakan tugas dengan baik selain mampu meningkatkan hasil negara,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan / Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kerjasama dan risikan dengan pihak kastam negara lain bagi menghalang aktiviti penyeludupan antarabangsa pada masa depan.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) dan Interpol bagi tujuan yang sama,” katanya.

Media semalam melaporkan, JKDM berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menyembunyikan dadah jenis kokain seberat 302.2 kilogram bernilai RM60.44 juta dalam bungkusan kacang soya.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan dilaporkan berkata, rampasan kokain itu adalah yang terbesar bagi tahun ini hasil kerjasama keselamatan dari kerajaan Arab Saudi.

Risikan mendapati, kontena berisi dadah yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada 6 Jun lalu itu berasal dari sebuah negara Amerika Selatan sebelum transit di negara ini dan dipercayai akan dihantar ke sebuah negara di Asia Selatan.

Susulan kes sama, JKDM turut merampas menyita 15 buah kotak disyaki mengandungi dadah jenis ketamin seberat 126.55 kilogram bernilai RM7.593 juta di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya