IPOH: Try pada minit-minit akhir perlawanan membantu Silver Gaurus muncul juara Kategori Terbuka Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Perak 2023 di Stadium Ragbi Perak, di sini semalam.
Semangat tidak mengalah erti kalah menyaksikan Silver Gaurus bangkit untuk mengatasi pasukan Ipoh Lions 17-15.
Ketinggalan 12-15, Silver Gaurus melancar serangan terakhir dan berjaya memadam kelebihan lawan untuk meraih kemenangan melalui try sebelum wisel penamat dibunyikan.
Kedua-dua pasukan akan mewakili Perak pada Kejohanan 7’S Kebangsaan di tempat yang sama pada 21-23 Julai ini.
Silver Gaurus mara ke final selepas mengatasi UPSI Eagles, manakala Lions menewaskan RMR Warriors A pada saingan separuh akhir.
Sementara itu, pasukan Blackout 2020 muncul juara Kategori B-20 selepas mengenepikan UPSI Eagles 12-5.
Blackout yang merupakan pasukan pembangunan Perak mengalahkan Edwardian RC 28-0 manakala Eagles menundukkan Brashian Wolves 40-0 pada peringkat separuh akhir.
Sebanyak 14 pasukan berentap dalam kategori Terbuka manakala 12 pasukan bersaing dalam kategori B-20 pada kejohanan kali pertama anjuran Persatuan Ragbi Negeri Perak yang baharu ditubuhkan semula. – UTUSAN