BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan sesi libat urus bersama pengeluar susu formula kanak-kanak dalam masa terdekat bagi menangani isu kenaikan harga barangan tersebut di pasaran.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, sesi libat urus tersebut akan diadakan minggu ini bertujuan mengadakan rundingan mengenai ‘harga Rahmah’ barangan tersebut bagi meringankan beban golongan terkesan.
“Kita ambil maklum mengenai hal ini dan semalam kita (sudah) bermesyuarat berkenaan kos susu formula kanak-kanak yang dikatakan meningkat.
“Malah, kita akan buat libat urus secepat mungkin, kalau boleh minggu ini di mana kita sudah pun memberikan arahan untuk libat urus dengan syarikat-syarikat pengeluar (susu formula kanak-kanak) supaya dapat membuat rundingan mengenai dengan ‘harga Rahmah’ barangan tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Treler Jualan Rahmah Bergerak/Mobil sempena Love Penang Agrofest@Pesta Mengkuang 2023 di Mengkuang Titi, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin.
Menurut beliau, meskipun produk susu formula kanak-kanak itu bukan merupakan barang yang dikawal harga, namun KPDN tetap mengambil langkah proaktif dengan mengumpulkan semua jenama yang digariskan sebagai jenama rakyat agar satu pendekatan positif dapat dicapai.
“Jenama rakyat ini adalah seperti Dutch Lady dan beberapa jenama lain, bukannya jenama susu formula kanak-kanak yang mahal.
“Jadi, kita sedang kumpulkan jenama-jenama susu formula yang ada ini seterusnya kita akan buat rundingan dengan pihak pengeluar dalam masa terdekat,” katanya.
Mengulas mengenai majlis itu, Fuziah berkata, peruntukan subsidi bagi Jualan Rahmah Bergerak/Mobil yang diluluskan di peringkat Parlimen pada April lalu adalah sebanyak RM100 juta bagi seluruh negara.
“KPDN juga akan memastikan Jualan Rahmah Bergerak akan terus sampai kepada rakyat tanpa adanya orang tengah sekali gus semua rakyat termasuk B40 dan golongan terpinggir dapat merasai manfaat inisiatif ini,” katanya. – UTUSAN