GUA MUSANG: Pekebun masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman negeri ini berharap bayaran pampasan setimpal dapat diberikan oleh kerajaan kepada mereka yang mengalami kerugian selepas tanaman musnah akibat haiwan liar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pekebun dari Kampung Gawin, Pos Gob, Akek Bahil, 52, berkata, sudah berpuluh-puluh tahun mereka berdepan kerugian selepas tanaman sara diri yang diusahakan dirosakkan oleh gajah liar.
“Kami kadangkala putus asa apabila kehabisan modal kerana haiwan liar seperti gajah kerap mengganggu tanaman.
“Kawasan penempatan kami di pedalaman juga menyebabkan bantuan pihak berkuasa lambat sampai dan beberapa langkah awal perlu kami ambil untuk mengatasi masalah ini termasuk membuat unggun api, namun tetap gagal menghalau gajah-gajah berkenaan,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi pekebun Orang Asli, Along Ronggeng, 59, berkata, pertanian merupakan sumber utama pendapatan untuk menanggung perbelanjaan keluarga.
Katanya, setiap kali haiwan liar menceroboh masuk ke kawasan kebun dan merosakkan hasil tamanan, mereka tidak dapat tidur lena memikirkan nasib selepas ini.
“Kami hanya menerima bantuan berupa sekampit beras dan barangan bakul. Jadi bantuan itu tidak cukup untuk menampung hidup kami selama satu tahun.
“Tuntutan kami sekarang adalah kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau pihak kerajaan supaya membayar ganti rugi berbentuk wang ataupun benih pokok ini yang dimusnahkan seperti pokok getah, pisang dan durian,” jelasnya.
Along berkata, dia berharap kerajaan mengambil langkah yang relevan untuk membantu sepanjang tidak dapat keluar mencari rezeki akibat serangan haiwan liar.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan sedang merangka dasar baharu berkaitan pembayaran pampasan kepada pemilik tanaman yang mengalami kerugian akibat tanaman dirosakkan oleh hidupan liar. – UTUSAN