Seorang maut, tiga cedera motosikal langgar kerbau - Utusan Malaysia

Seorang maut, tiga cedera motosikal langgar kerbau

PENUNGGANG motosikal yang maut akibat merempuh sekumpulan kerbau di atas jalan di Jalan Sungai Kroh-Kampung Gajah dekat Air Kuning, Tapah kelmarin. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka melanggar kerbau di Jalan Sungai Kroh-Kampung Gajah dekat Air Kuning di sini kelmarin.

Dalam kejadian sekitar pukul 1.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Haddrie Naim Azmi, 19, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Tiga penunggang motosikal lain berusia 21, 14 dan 16 tahun masing-masing patah tangan, retak tangan dan luka ringan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika keempat-empat penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Kampung Gajah menuju ke Air Kuning.

“Semasa melalui lokasi kejadian, terdapat sekumpulan kerbau di atas jalan. Disebabkan keadaan yang gelap kerana tiada lampu jalan, penunggang motosikal gagal mengelak lalu merempuh haiwan berkenaan.

“Pelanggaran itu menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Tiga penunggang lain pula cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Kampar,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Penternak haiwan diingatkan agar lebih bertanggungjawab dengan tidak membiarkan ternakan berkeliaran sehingga menyebabkan kemalangan.

“Pemilik ternakan yang didapati dengan sengaja melepaskan ternakan sehingga menyebabkan kemalangan boleh didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya