SEPANG: Seorang lelaki lemas, manakala tujuh yang lain selamat apabila bot dinaiki mereka karam di Pantai Bagan Lalang, di sini tengah hari tadi.
Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, mangsa yang juga pengendali bot dikenali sebagai Ang Tong Poh, 67, ditemukan lemas kira-kira 3 kilometer (km) dari lokasi bot karam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor menerusi kenyataan berkata, insiden berlaku ketika bot dinaiki mangsa dalam perjalanan dari jeti Sepang Kecil ke kelong Haji Nazri.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.27 petang daripada pegawai Agensi Penyelamat Malaysia (APM).
“Kami mendapat laporan bahawa sebuah bot pancing dinaiki lapan lelaki dewasa karam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira 2.40 petang, tujuh mangsa diselamatkan oleh nelayan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, mangsa yang juga pengendali bot berusia 67 tahun dipercayai hilang sebelum misi mencari dan menyelamat dilakukan,” katanya.
Katanya, mangsa kemudiannya ditemukan terdampar di hutan bakau oleh penduduk pukul 3.30 petang tadi sebelum disahkan meninggal dunia.
Jelasnya lagi, kematian mangsa disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, mangsa yang selamat dikenali sebagai Norazahar Kamarudin, 41; M. Nurzulhusmil Haikal, 30; Mohd. Farid Jaafar, 48;
Mohd. Rosli Mat Nor, 34; Syed Mohd Azri, 35; Farish, 16, dan pemilik kelong, Nazri, 50 an. – UTUSAN