Selangor sumbang 25.5 peratus KDNK negara 2022 - Utusan Malaysia

Selangor sumbang 25.5 peratus KDNK negara 2022

PRN Masjid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor mengekalkan prestasinya sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang tertinggi bagi 2022 iaitu 25.5 peratus dan sumbangan itu meningkat 0.7 berbanding 24.8 pada  2021.

Pencapaian tersebut adalah tertinggi dalam tempoh 14 tahun disumbang pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan apabila negeri ini mencatatkan peratusan tertinggi masing-masing 32.2, 34.1 dan 26.5 peratus.

Sektor perkhidmatan Selangor pula terus rancak dan mencatatkan pertumbuhan paling tinggi berbanding mana-mana negeri iaitu sebanyak 13.6% pada tahun 2022.

Berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), selain sumbangan KDNK, Selangor juga merekodkan pertumbuhan melebihi paras nasional tertinggi bersama tiga negeri lain iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Pahang.

Selangor catat 11.9 peratus diikuti Pulau Pinang (13.1), Pahang (10.8) dan Kuala Lumpur (9.2), berbanding pertumbuhan KDNK negara iaitu 8.7 peratus.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kejayaan tersebut membuktikan keyakinan komuniti pelabur dari dalam dan luar negara terhadap pentadbiran negeri sambil memudah cara urusan perniagaan.

“Ini merupakan pertumbuhan paling tinggi dan sumbangan tertinggi Selangor kepada KDNK negara sejak Pakatan Harapan (PH)  diberi amanah mentadbir negeri ini pada tahun 2008.

“Saya amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini kerana kejayaan hebat ini hanya terhasil daripada kebersamaan, ketekunan, dan perancangan pasukan saya dalam barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta pasukan penjawat awam yang begitu komited,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pertumbuhan ekonomi dicapai negeri ini dapat menjamin kemakmuran Selangor sebagai gedung ekonomi Malaysia dan menjadi paksi kepada kestabilan pentadbiran serta kesejahteraan rakyat.

Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada setiap individu yang memainkan peranan begitu penting bagi merealisasikan kejayaan ini dan yakin era kegemilangan Selangor hanya dapat diteruskan apabila pentadbiran ini diamanahkan mandat baharu dalam Pilihan Raya Negeri akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN