PETALING JAYA: “Sekejap sahaja Allah pinjamkan mama untuk adik di dunia ini. Hari yang paling saya takutkan kini tiba.”
Demikian luahan pelakon dan penyanyi, Kilafairy dalam satu hantaran di Instagram selepas usai majlis pengebumian ibunya, Rohana Jalil yang meninggal dunia pukul 11.33 malam tadi.
Kongsi Kilafairy, dia tidak mempunyai pilihan selain berhadapan dengan cabaran dan kehidupan di dunia tanpa doa, nasihat dan kasih-sayang daripada seorang ibu.
“Pelindung, penjaga, bidadari, nyawa dan segalanya untuk saya. Tuhan ambil mama di hari kedua Zulhijjah, SubhanAllah.
“Allah sayang kita 70 kali ganda lebih daripada kasih seorang anak kepada ibunya. Nanti adik jumpa mama di sana okay? Berehatlah, bidadari syurgaku. Adik sayang mama,” ujarnya.
Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil meninggal dunia pukul 11.33 malam tadi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penyanyi yang popular dengan lagu Rayuanku itu menghembuskan nafas terakhirnya di samping suami dan anak-anaknya.
Terdahulu, Allahyarham dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sekitar April lalu selepas mengalami kebocoran usus.