Saya tidak tahu menahu - Tajuddin - Utusan Malaysia

Saya tidak tahu menahu – Tajuddin

TAJUDDIN Abdul Rahman bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menafikan beliau antara yang tersenarai dalam 10 ‘warlord’ atau pemimpin utama UMNO yang akan menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Tegas Tajuddin, beliau sama sekali tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan akan kekal bersama UMNO walau apa pun terjadi.

“Tidak ada kena mengena dengan saya. Lillahitaala saya tidak tahu menahu.

“Saya tetap bersama UMNO walau pun tinggal seorang. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) jangan bimbang, saya bersama UMNO dan akan sokong UMNO.

“Saya harap Datuk Zahid dapat pimpin dan buat elok-elok, kalau beliau berlaku adil demi parti dan ahli-ahli UMNO serta orang Melayu, saya sokong,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan PN yang akan mengumumkan senarai 10 warlord merangkumi individu disisihkan UMNO untuk menyertai parti dalam gabungan tersebut dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, pimpinan gabungan parti sedang memuktamadkan urusan berkaitan.

Sementara itu, mengulas berhubung rayuan penggantungannya sebagai ahli UMNO, Tajuddin berkata, semua usaha telah dilakukan termasuk isterinya, Datin Seri Rohkiah Abdul Samat bertemu sendiri dengan Ahmad Zahid.

“Saya sudah buat rayuan bertulis tiga kali, secara tidak bertulis beberapa kali. Saya sudah berjumpa, salam dan cium tangan, apa lagi yang saya tidak buat?

“Biar saya sebut di sini, isteri saya sampai pergi jumpa (Presiden UMNO). Bukan kerana hendak sangat keahlian itu, tapi merasakan kenapa sampai begitu sekali.

“Saya pun tidak tahu Presiden dengar cakap siapa? Tulus ikhlas saya bercakap, berfikirlah secara tenang, imbas kembali apa yang disampaikan kepada dia.

“Apa kejahatan yang saya buat sampai penggantungan susah dilepaskan. Apa kerugian kepada parti yang saya buat sehingga saya dikatakan salah.

“Kalau ada pun yang memang boleh dianggap kesalahan adalah kritikan saya yang pedas,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya