BAGAN SERAI: Sawah yang diusahakan bapa kepada pelawak dan penyampai radio, Shuib di Parit Haji Ali 1, Alor Pongsu dekat sini antara yang terjejas dengan masalah kekurangan air berikutan cuaca panas.
Secara keseluruhan, masalah itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 24 hektar (60 ekar) sawah bagaimana pun berjaya diatasi hasil tindakan pantas tiga agensi daerah Kerian ini iaitu Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Pejabat Pertanian Daerah Kerian menghantar pam air bergerak.
Pam air bergerak itu dipasang berhampiran pintu air di kampung itu untuk mengepam air dari parit berdekatan dan dialirkan ke sawah yang terjejas.
Bapa Shuib, Muhammad Arshad, 65, berkata, sawahnya dan beberapa pesawah lain, semuanya seluas 24 hektar mengalami kekurangan air sehingga ada tanah sawah yang kering dan merekah berikutan kekurangan air lebih dua minggu lalu.
Menurutnya, ia berlaku disebabkan penyusutan air di Empangan Tasik Kolam Bukit Merah yang pada ketika itu berada pada paras kritikal pengairan tahap pertama.
“Anak padi rata-rata pada ketika ini baru berusia sekitar 35 hingga 40 hari dan amat memerlukan air yang banyak untuk percambahan dan tumbesaran.
“Sekiranya tanah sawah ini kering dalam tempoh yang lama, ia akan membantutkan tumbesaran padi.
“Jika keadaan kering berterusan, ini turut mengundang pelbagai jenis penyakit padi yang boleh menjejaskan hasil pengeluaran. Namun masalah ini selesai dengan tindakan pantas tiga agensi yang membawa pam bergerak untuk menyalurkan air ke petak sawah dari parit berdekatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang pesawah, Mohd. Zaini Saarani, 65, berkata, kawasan tanaman padi terlibat mengalami ketiadaan air lebih daripada tiga minggu hingga menyebabkan pesawah tidak dapat menabur baja mengikut jadual.
Menurutnya, namun kini mereka boleh menarik nafas lega kerana masalah itu mendapat perhatian daripada pelbagai agensi berkaitan.
Seorang lagi pesawah, Mohd Fauzi Mokhtar,60, berkata, dia bersyukur kerana masalah yang dihadapi pesawah berjaya diselesaikan tiga agensi yang terlibat.
Katanya, jika tindakan lambat diambil, kemungkinan besar anak padi akan mati dan menjejaskan hasil pendapatan dan pengeluaran padi musim ini.-UTUSAN