Sarjan didakwa 21 pertuduhan rasuah RM2,530 - Utusan Malaysia

Sarjan didakwa 21 pertuduhan rasuah RM2,530

SEORANG anggota polis marin berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 21 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,530 daripada seorang individu, enam tahun lalu. - Pic IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang anggota polis marin berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas 21 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,530 daripada seorang individu, enam tahun lalu.

Tertuduh, Che Ani Ramli, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu berkhidmat sebagai Koperal Polis YA3 di Gerakan Polis Marin, Batu Uban didakwa menerima suapan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Berhad Cawangan Plaza MWE, Georgetown dan Agrobank Taman Seri Indah, Balik Pulau dekat sini, antara 19 Mac 2017 sehingga 21 Mei 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Irwan Syafiq Nor Ridzuan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Che Ani kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana masih menanggung isteri dan tiga daripada empat anak yang masih bersekolah.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 1 Ogos depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya