PENDANG: UMNO Kedah menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanya ‘manis mulut’ apabila meminta agar parti yang akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) bertanding secara anak jantan tanpa menggunakan dana kerajaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Muhammad Sanusi tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang ekstrem semata-mata untuk meraih perhatian rakyat.
“Kalau jadi kerajaan hang cerita lah macam mana pun, yang itu dipanggil ‘lip decoration’ atau hiasan bibir saja. Satu dunia tahu kalau sudah jadi kerajaan macam mana hang tak guna, (pasti akan) guna jugalah.
“(Contohnya) sekarang kita nak pergi program parti pakat naik Myvi, tak ada lagu itu kan? Jadi saya ingat tak payah cerita yang terlalu nak pengasing-pengasing kerajaan. Kita masuk pilihan raya, kami sebagai Kerajaan Persekutuan, kamu kerajaan negeri dan kita profesional,” katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat persiapan PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah kelmarin, bahawa setiap parti yang bertanding pada PRN perlu berkempen atas kekuatan dan kapasiti masing-masing tanpa menggunakan sebarang dana dan harta milik kerajaan.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sikap mengadu domba atau mengeluarkan momokan yang berlebihan itu juga tidak relevan dalam politik memandangkan rakyat sudah bijak membuat penilaian.
“Kaedah politik ekstrem yang melampau ini kita tak perlu guna. Kita pergi kepada naratif rakyat sebab 65 tahun daripada awal Merdeka, rakyat sudah ada pendidikan yang diberi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) sama ada peringkat tertinggi dan pertengahan bermula ijazah, diploma dan sijil kemahiran, pengundi sudah bijak.
“Tak payah terlampau memburuk-burukkan orang setiap hari, ceritalah apa yang kita nak buat. Mencucuk orang, mengata orang (seperti) jadi satu kegemaran pula,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata pihaknya yakin pengundi sudah matang dan berada pada naratif jelas selepas terkeliru membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, kekeliruan itu berlaku disebabkan BN dan Perikatan Nasional (PN) ketika itu merupakan parti yang menjadi kerajaan.
“Kita pun tak boleh salahkan depa juga pada waktu itu, tapi hari ini sangat jelas di Putrajaya (ada) BN dan Pakatan Harapan (PH). Di sini PN (iaitu) Pas dan Bersatu yang jadi pembangkang. Sebab itu kita guna tagline, Kalih Bagi Sama,” katanya. –UTUSAN