ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyahut cabaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kow Yeow untuk ke mahkamah berhubung kenyataan kontroversi terbaharunya bahawa Pulau Pinang milik Kedah.
Muhammad Sanusi berkata, beliau bersedia untuk mempertahankan kenyataannya itu bersandarkan bukti dimilikinya sekiranya perlu ke mahkamah nanti.
“Jumpa di mahkamah, saya bersedia sampai ke situ (atau) di mana sahaja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah 2023 di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.
Kon Yeow menegaskan pihaknya bersedia untuk ke mahkamah berhubung dengan kenyataan Muhammad Sanusi bahawa Pulau Pinang milik Kedah yang dibuat ketika majlis perjanjian sempadan antara Kedah dan Perlis di sini, kelmarin.
Sementara itu, mengulas laporan polis dibuat DAP yang diketuai Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer terhadapnya, Muhammad Sanusi juga sedia untuk disiasat selain menyifatkan pihak terbabit takut kerana tidak memiliki apa-apa bukti yang berkaitan.
Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan bayaran khas melibatkan beberapa tuntutan sebelum ini antaranya pampasan RM200 juta sebagai menghargai pengorbanan Kedah membangunkan kawasan pertanian demi menyumbang keterjaminan makanan negara.
“Pampasan ini sebagai bayaran khas kerana kita simpan sawah padi. Dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-2 (RFN Ke-2) kata nak bagi (pampasan) tetapi sekarang sudah RFN Ke-4, masih tiada apa-apa. Tak dapat-dapat. Tak ada formula? Raja formula kan ada. Tanya dia,” katanya.
Tambah Muhammad Sanusi, pampasan lain yang dituntut untuk disegerakan itu melibatkan tuntutan memulihara hutan simpan di Kedah sebagai kawasan tadahan air di utara tanah air berjumlah RM200 juta.
“Bukan banyak sangat pun berbanding belanja di Kerajaan Pusat, celah gigi sahaja. Bagilah (pampasan), kita bolehlah simpan. Semangat sikit orang kita, kerajaan negeri pun semangat lah juga. Kita minta Kerajaan Persekutuan tengok baliklah permohonan bayaran itu,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa tuntutan tersebut dibuat demi kebajikan rakyat Kedah dan melangkaui batas politik walaupun kerajaan negeri tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan.
“Segerakan bayaran dengan formula yang munasabah, pasal bila ringgit kita jatuh barang import jadi mahal. Apa yang dikeluarkan ini sebagai ganti kepada import makanan dan beri sumbangan besar kepada negara.
“Pandanglah wajah kita. Dengan hati yang jernih, fikiran yang bersih. Jangan kerja nak cari kesalahan kita, nak tindas saja. Lupakan politik sementara waktu, yang saya dok cakap itu bukan pasal politik (tetapi) pasal perjuangan Kedah untuk rakyatnya,” katanya. –UTUSAN