Sanusi buat penduduk Pulau Pinang bimbang hilang negeri - DAP - Utusan Malaysia

Sanusi buat penduduk Pulau Pinang bimbang hilang negeri – DAP

LIM Guan Eng dan RSN Rayer serta sebahagian pemimpin dan ahli DAP dalam sidang akhbar selepas membuat laporan terhadap Muhammad Sanusi Md. Nor di IPD Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: DAP menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya penduduk Pulau Pinang bangkit menyatakan bantahan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung kenyataan Pulau Pinang milik negeri itu.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Muhammad Sanusi itu adalah jelas sangat berbahaya dan boleh menimbulkan keresahan serta ketegangan dalam kalangan rakyat khususnya penduduk Pulau Pinang.

Ini kerana, ujar beliau, penduduk Pulau Pinang khususnya akan berasakan mereka boleh kehilangan negeri disebabkan tindakan liar dan tidak bertanggungjawab Muhammad Sanusi yang berterusan mempertikai kedaulatan Pulau Pinang.

“Ini bukan pertama kali beliau mempertikaikan kedaulatan Pulau Pinang sehinggakan sidang DUN pada Februari lalu meluluskan usul mengecam tindakan beliau.

“Tetapi nampaknya, beliau masih tidak sedar diri dan sengaja mengungkit isu ini sebagai modal politik khususnya menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang diketuai Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berharap tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada diambil terhadap Muhammad Sanusi bagi memastikan pertikaian berkaitan kedaulatan Pulau Pinang dapat dihentikan.

Ini kerana, ujar beliau, selagi perkara itu dibangkitkan, pihaknya bimbang isu tersebut akan terbawa-bawa dalam penyokong-penyokong Muhammad Sanusi atau pihak tidak betanggungjawab lain seterusnya boleh menimbulkan perpecahan berterusan dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, Rayer berkata, sejak kemerdekaan negara pada 1957, tidak pernah ada mana-mana individu apatah lagi yang bertaraf ketua negeri pernah mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang.

Akhbar sebelum ini melaporkan Muhammad Sanusi terus menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut selepas mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

Malah kata Muhammad Sanusi, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah ‘terlepas’ dari Kedah.

Kenyataan Muhammad Sanusi itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membidasnya dengan berkata, sebagai seorang Menteri Besar, Muhammad Sanusi seharusnya terikat dengan aspek perundangan dan faham mengenai perlembagaan.

Anwar berkata, setiap pemimpin perlu menghormati perjanjian perlembagaan yang telah diperkenan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah dalam isu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya