RUU keselamatan siber perlu digubal segera - PM

RUU keselamatan siber perlu digubal segera – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rang Undang-undang Keselamatan Siber perlu digubal segera untuk memastikan segenap aspek perundangan berkaitan dapat dituntaskan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU ini akan memberi Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (NACSA, MKN) punca kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber.

Kata beliau, ini termasuk menambah baik keberkesanan fungsi-fungsi NACSA, MKN sejajar dengan hasrat yang termaktub dalam Arahan MKN No. 26 Pengurusan Keselamatan Siber Negara dan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS).

“Saya menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap keselamatan negara termasuk di dalam domain digital dan ekosistem siber.

“Sehubungan itu, NACSA, MKN dipertanggungjawabkan sebagai agensi tonggak untuk menggembleng usaha dan ikhtiar merentas pelbagai entiti kerajaan serta pihak industri di dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara di sini Selasa lalu.

Anwar berkata, entiti dalam ekosistem siber akan terus mengekalkan kuasa yang membolehkan mereka melaksanakan fungsi masing-masing.

Pada masa sama, katanya, fungsi tugas beberapa entiti teras berkaitan keselamatan siber akan diselaraskan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan memaksimakan kecekapan.

“Malaysia harus menelusuri cabaran era digital yang menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera kerajaan dalam menangani ancaman keselamatan siber.

“Perihal ini menjadi keutamaan bukan sahaja di dalam negara tetapi turut mencakup ehwal lebih besar di peringkat global kerana alam siber dan komunikasi digital meresapi pelbagai aspek dalam kehidupan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN