PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan 17 individu yang terlibat dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, lima tahun lalu.
Dalam insiden yang berlaku pada 27 November 2018, anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim mengalami cedera parah selepas dipukul sekumpulan perusuh dalam operasi memadamkan kebakaran kenderaan di hadapan kuil berkenaan sebelum meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018.
Pada prosiding hari ini, Majistret Muhammad Iskandar Zainol memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan kesemua tertuduh tanpa memanggil mereka membela diri atas pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes itu.
Tertuduh terlibat ialah Saifullah Abdullah, Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Qayyum Mohd Faisal, Ashraf Mohd. Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Jalil Talib, Khairol Anuar Zabidi, Zamri Md. Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani, Shahril Danniel Sajeel, Hasneezam Shah Samsudin, Akmal Izzat Azi dan Norul Ismawi Islahuddin.
Ketika membaca keputusannya, Muhammad Iskandar menyatakan tiada pengenalpastian positif tertuduh termasuk melalui pengecaman di kandang tertuduh.
“Selain itu tiada senjata dikemukakan di mahkamah sebagai bahan ekshibit seperti pisau seperti yang dinyatakan dalam kertas tuduhan,” kata majistret itu.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada tahun 2019, lebih 20 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Sementara itu, peguam R.Kirthiraj yang mewakili Saifullah mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi media selepas tamat prosiding.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh berusia antara 24 dan 47 tahun didakwa merusuh dan memiliki senjata berbahaya antara pukul 2 pagi hingga 5 pagi pada 26 November 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Rusuhan itu yang berlaku pada awal pagi 26 November 2018 apabila sekumpulan lelaki memasuki kuil.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah daripada lebih dua orang yang tidak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad juga merumuskan kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib. – UTUSAN