KOTA BHARU: Kerajaan Perpaduan akan terus menjadikan perumahan rakyat sebagai agenda utama dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melakukan penelitian secara terperinci berkait kemajuan projek perumahan rakyat (PPR).
Menurutnya, pada masa sama jika perlu menambah peruntukan bagi negeri-negeri yang sangat memerlukan rumah kerajaan sedia berbuat demikian termasuk Kelantan.
“Projek perumahan terutamanya rumah pertama kepada rakyat perlu diberi perhatian.
“Kita cuba selesaikan kerana ini adalah dasar Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Jaya, Pasir Hor, di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 14 buah keluarga telah menerima kunci rumah RMR SPNB pada majlis tersebut.
Anwar memberitahu, projek RMR oleh SPNB adalah antara projek perumahan rakyat yang menyediakan asas kediaman rakyat.
“Apa yang diperlukan adalah keperluan asas iaitu tiga bilik dan dua bilik air, kita bukan nak bina yang lebih-lebih.
“Tidak guna negeri maju, gedung-gedung pasaraya mencakar langit tapi rakyat masih tiada rumah, nak makan tak boleh, nak beli susu anak susah,”ujarnya. – UTUSAN