Rumah baharu di Taman Datuk Hajah Fatimah Salim

Rumah baharu di Taman Datuk Hajah Fatimah Salim jadi hadiah Aidiladha

ONN HAFIZ GHAZI (tengah) bergambar dengan para penerima kunci rumah baharu di Taman Datuk Hajah Fatimah Salim di Kampung Parit Makuasang, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sambutan Hari Raya Aidiladha penghujung bulan ini memberi makna yang besar kepada 149 keluarga daripada tiga kampung yang sering terjejas akibat fenomena air pasang besar setiap tahun.

Ini kerana penduduk yang tinggal di Kampung Nelayan dan Kampung Sri Tanjung di Benut dan Kampung Sungai di Sanglang menerima kunci kediaman jenis berkembar bernilai RM150,000 di Taman Datuk Hajah Fatimah Salim di Kampung Parit Makuasang yang di­sampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Serbaguna Benut, di sini.

Seorang penerima, Mardiah Ambok Loh, 64, dan suami Hamid Kasim, 75, bersyukur impian untuk mendapatkan rumah baharu selepas lebih 30 tahun mendiami rumah usang di Kampung Sri Tanjung ­akhirnya tercapai.

“Rumah lama sudah usang akibat kerap dilanda banjir akibat fenomena air pasang besar yang kerap berlaku. Sementara waktu ini, kami sekeluarga menumpang di rumah saudara di Taman Sri Mahkota, Benut.

“Tidak sangka, saya dapat rumah baharu sebelum Aidiladha. Suami yang kini berkerusi roda kerana sakit saraf sangat seronok dapat berpindah ke rumah lebih selesa,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Pegawai Daerah Pontian, Zainal Eran.

Seorang lagi penerima, Daim Kamdar, 60, dan isteri serta tiga anak tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu bagi membuat persediaan menyambut Aidiladha nanti

Semenjak kecil dia tinggal di Kampung Sri Tanjung, dia mengaku sedih untuk meninggalkan kampung tersebut, namun kerap dilanda air pasang besar, mereka nekad untuk berpindah ke penempatan baharu.

“Saya hanya bekerja sebagai pemandu bas, syukur alhamdulilah, kerajaan banyak bantu kami sekeluarga dan penduduk kampung di sini memiliki kediaman baharu yang lebih selesa,” katanya.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya