BUTTERWORTH: Jawatankuasa Road to Gold (RTG) akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi mengkaji permintaan dan keperluan atlet negara susulan luahan kekecewaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, mesyuarat itu akan mengambil kira semua hasrat atlet yang terpilih dalam program tersebut.
“Keperluan dan kemahuan mereka akan dikaji jawatankuasa, malah saya telah menghubungi Azizulhasni menerusi Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam susulan isu berbangkit.
“Kita akan usahakan yang terbaik untuk atlet kita bagi memastikan peluang Malaysia mendapat pingat emas cerah,” katanya selepas merasmikan Program Malaysia Aktif@Komuniti Peringkat Kebangsaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bagan Jaya, di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung kekecewaan Mohd. Azizulhasni susulan kegagalan MSN menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, awal tahun ini.
Sebelum ini, Mohd. Azizulhasni yang dikenali dengan jolokan The Pocket Rocketman berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan MSN sejak setahun sebelum beliau kembali ke Malaysia, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun.
Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, KBS melancarkan kelas zumba percuma di 12 PPR meliputi enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor sebagai usaha mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
“Kelas ini dijalankan sehingga Disember ini bagi menggalakkan penduduk untuk menjadikan aktiviti ini sebagai sebahagian gaya hidup mereka.
“Fasa kedua program ini akan dilaksanakan di ibu negara dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN